Jenayah

4 Tertuduh Dakwa Kesan Terbakar Akibat Latihan Ketenteraan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu empat tertuduh dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain, mendakwa kesan terbakar pada mangsa adalah akibat kecederaan ketika latihan ketenteraan.

Pengasas Klinik As-Salam, Dr Azfar Hussin memberitahu Zulfarhan dibawa ke klinik oleh empat rakannya iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali pada jam 12 tengah hari 27 Mei tahun lalu.

“Saya tidak bertugas pada hari itu tetapi ada menerima panggilan daripada kakitangan memberitahu ada doktor memerlukan bantuan untuk mencuci luka.

“Saya pergi ke bilik rawatan dan melihat Zulfarhan di atas katil dan dikelilingi rakannya. Seorang daripada mereka memberitahu saya mangsa cedera kerana terdapat letupan ketika latihan tentera berdekatan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ketujuh kes pendakwaan, hari ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan awal, tekanan darah dan degupan jantungnya berada dalam normal dan masih sedar sepanjang rawatan

“Zulfarhan memberitahu saya supaya tidak memaklumkan kepada keluarganya berhubung isu itu kerana tidak mahu ibunya yang sedang sakit bimbang.

“Dia juga memberitahu saya dia mahu menyelamatkan reputasinya sebagai pegawai kadet, sebab itu dia mendapatkan rawatan di Bangi dan bukan di Port Dickson. Atas permintaannya sendiri, saya memberi balutan moden dan beberapa suntikan untuk melegakan penderitaannya (daripada kecederaan),” katanya.

Dr Azfar berkata, beliau ada menyediakan surat rujukan kepada Zulfarhan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Serdang yang diberikan kepadanya di kaunter pendaftaran.

“Berdasarkan pemerhatian, saya mendapati kecederaannya serius dan kesan terbakar itu berdekatan alat sulitnya.

“Zulfarhan juga menolak menggunakan perkhidmatan ambulans dan saya rasa tidak apa kerana tekanan darah ketika itu normal,” katanya.

Terdahulu, saksi keenam, Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad, 37, berkata terdapat 90 kesan luka terbakar pada badan Zulfarhan.

“Kecederaan dialami mangsa mampu menyebabkan kematian kerana Zulfarhan mengalami 65 peratus kesan terbakar tahap kedua dan 32 peratus kesan terbakar tahap ketiga.

“Antara bahagian teruk adalah perut, alat kelamin, tangan, belakang dan paha,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Salmah juga mengenal pasti seterika wap adalah ‘senjata’ digunakan bagi menyebabkan kecederaan di bahagian tubuh mangsa.

“Laporan menunjukkan terdapat kesan melecur dengan pola titik kecil khas yang saya rasakan adalah kesan seterika wap,” katanya.

Perbicaraan bersambung 28 Mac ini di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Keempat-empat tertuduh termasuk Muhammad Najib Mohd Razi dan Mohamad Shobirin Sabri didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, Blok Hostel Jebat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) antara jam 2.30 pagi hingga jam 5.30 pagi pada 21 Mei 2017 dan di bilik 04-10, tempat sama antara jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi pada 22 Mei tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama.

Sementara itu, 19 tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");