shadow

KUALA LUMPUR: Aktres jelita ini mungkin bersifat terbuka apabila sering berkongsi kisah peribadi termasuk foto si dia yang dimuat naik di laman sosial, namun dalam soal jodoh, Ainul Aishah berpegang resam dan adat Melayu.

Tidak hairanlah, apabila ditanya bila dirinya akan melangsungkan hari bahagia bersama jejaka pilihan hati, Khalid Redzuan, bintang Lara Aishah ini lebih selesa soalan itu diajukan kepada si jejaka berdarah kacukan itu.

“Saya memang terbuka dalam soal berkongsi kisah peribadi…. Saya jenis yang tak suka ‘sorok’ termasuklah siapa kekasih. Tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

“Soal kahwin, saya sudah bersedia… Kalau ada jodoh, adalah. Memanglah kalau boleh saya mahu mempercepatkannya.

“Namun, saya tidak tahu apa yang dia (kekasih) fikirkan. Kalau boleh, saya tak mahu buang masa dalam perhubungan kerana saya komited dan serius.

“Siapa yang tidak mahu mengecap bahagia dan menikmati alam rumah tangga,” katanya lapor BH Online.

Ainul berkata, sebagai wanita, dia sedar, soal mengatur langkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan, lebih layak diajukan kepada pasangan lelaki.

Ditanya keterbukaannya berkongsi foto kekasih di laman sosial, Ainul yang menginjak usia 33 tahun, berkata:

“Saya hanya jadi diri sendiri… Saya tak sembunyikan. Memang dari dulu lagi saya muat naik gambar kekasih supaya orang tahu saya rapat dengan siapa sekarang,” katanya yang menanti siaran drama terbaharu, Seputih Cinta Rangbulan.

Sementara itu, mendekati Khalid, jejaka ini menunggu masa sesuai untuk melamar cinta hatinya itu.

“Sudah semestinya kami cuba beri yang terbaik dalam membina hubungan ini. Saya berkenalan dengan Ainul pada hari lahirnya, tahun lalu. Sudah hampir setahun kami berkawan.

“Soal kahwin memang saya nantikan detik itu… Cuma belum diputuskan bila. Lagipun, adik lelaki saya baru saja melangsungkan perkahwinannya.

“Ayah saya juga berseloroh meminta dia berehat dulu sebelum giliran saya. Ainul dan saya juga tidak mahu terburu-buru dalam soal ini,” katanya yang merancang mengembangkan perniagaan biskut A Cookies yang diusahakan kekasihnya itu.

Komen & Pendapat