Membawang Hari Ini

Armin Berdepan Dua Kali Ganda Hukuman Pukul Anak

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan meminda pendakwaan pertuduhan terhadap suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memaklumkan, pindaan pertuduhan itu melibatkan Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 326A, Armin, 53, boleh dikenakan dua kali ganda tempoh hukuman jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan, bapa kepada empat cahaya mata itu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Identiti anak manakah yang cedera itu tidak dapat didedahkan.

Sebutan semula kes itu didengar di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Sementara itu, Raja Noor Adilla mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Armin.

Armin yang hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi dengan tangannya bergari dilihat tenang dan penampilannya kelihatan berbeza apabila dia mencukur rambutnya.

Ketika berada dalam kandang tertuduh, Armin dilihat memandang beberapa kali ke belakang bilik mahkamah dipercayai menanti penjaminnya. Dia diwakili peguam, Muhammad Zufar Elias.

Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes.

Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana atau Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.-Mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");