Sukan Hari Ini

Azizul, Jun Hoong Olahragawan Dan Olahragawati 2017

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Cheong Jun Hoong menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017.

Azizul menakluk dunia apabila menamatkan penantian 10 tahun dengan menjuarai acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong, April lalu, sekali gus memenangi Jersi Pelangi gagal digugat lima pencabar lain.

Jun Hoong pula memecah dominasi penerjun China, sekali gus menjadi penerjun pertama negara meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary Julai lalu melengkapkan penguasaan dua atlet negara di pentas dunia.

Bagi Azizulhasni, ia adalah kejayaan ketiga buat “The Pocket Rocketman” selepas mengungguli berprestij itu dua tahun berturut-turut pada 2009 dan 2010 manakala yang pertama buat Jun Hoong selepas Pandelela Rinong pada 2015.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan berbangga dinobatkan sebagai Olahragawan negara 2017 dan ia adalah kali ketiga saya menerima anugerah terbesar negara ini.

“Sesungguhnya segala pengorbanan, susah payah serta halangan saya tempuhi selama karier ini berbaloi dan membuatkan semua itu menjadi manis.

“Penganugerahan ini akan menjadi sumber motivasi saya untuk beraksi dengan lebih cemerlang di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tidak lama lagi,” kata Azizul yang menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan RM20,000 lapor Berita Harian.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio ketika ditemui turut mengharapkan rakan atlet yang lain akan bekerja keras merasai nikmat anugerah bergelar Olahragawan.

Azizul dan Jun Hoong yang baru-baru ini meraih pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama dalam Siri Piala Dunia di Beijing menjadi taruhan serta prospek terbaik buat negara meraih emas di Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan.

Hadiah wang tunai, piala pusingan, piala iringan serta sijil disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

_____________________________________________

SENARAI PENERIMA ANUGERAH

Olahragawan Kebangsaan

– Azizulhasni Awang (Basikal)

Olahragawati Kebangsaan

– Cheong Jun Hoong (Terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan

– Muhammad Ziyad Zolkefli (Olahraga)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan

– Tiada pemenang

Jurulatih Lelaki Kebangsaan

– Mohd Poad Md Kassim (Olahraga)

Jurulatih Wanita Kebangsaan

– Yoong Sze Yuin (Bola Keranjang)

Pasukan Lelaki Kebangsaan

– Pasukan Hoki

Pasukan Wanita Kebangsaan

– Pasukan Tenpin Bowling

Kepimpinan Sukan

– Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (Persekutuan Lawn Bowls Malaysia)

Anugerah Tokoh Sukan

– Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Persatuan Bola Sepak)

Anugerah Khas

– Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT)

– Hafizh Syahrin Abdullah (Moto GP)

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");