Jenayah

Bekas Peguam Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM270,000 hasil jualan rumah milik seorang pengarah syarikat pembinaan, tiga tahun lalu.

Saidatul Karimah Nasron, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang ketika kejadian sebagai peguam di firma Messrs Saida Karima & Co, didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang tunai RM270,000 hasil jualan rumah milik Junainah Yusof, 60, di Hulu Klang.

Menurut laporan BH Online, dia didakwa melakukan perbuatan itu di firma berkenaan di Jalan Wangsa Delima 11, D’Wangsa Link Pusat Bandar Wangsa Maju, di sini, pada 9 Oktober 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Norashikin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh bagaimanapun sekiranya mahkamah cenderung memberikan jaminan, pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah atas alasan dia mempunyai dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di balai polis berhampiran tempat tinggal sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 April ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");