Perak Hari Ini

Calon PRU Digugur, Dikekalkan Adalah Proses Biasa: BN Perak

KUALA KANGSAR: Sebarang isu yang dihadapi Barisan Nasional (BN) dalam proses menetapkan calon bagi satu-satu kawasan untuk Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) bukanlah sesuatu yang asing malah, ianya juga turut dihadapi mana-mana parti politik di negara ini.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, konsep berbincang ataupun bermusyawarah dengan semua ahli adalah antara langkah yang sentiasa diutamakan dalam mencapai matlamat bagi memenangi kerusi yang ditandingi.

“Ia bukan soal ada tempat yang teruk atau ada tempat yang tidak. Proses pemilihan calon wakil rakyat ini dibuat begitu teliti sekali.

“Presiden kita, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyatakan kriteria pemilihan terhadap calon-calon, dan itu sangat penting.

“Oleh demikian, akan berlaku pada setiap siri PRU dimana akan ada calon yang digugurkan dan ada juga yang dikekalkan. Jadi ianya, proses biasa yang saya rasa bukanlah sesuatu isu besar sehingga menimbulkan masalah keseluruhannya,” ujarnya.

Zambry yang Menteri Besar Perak berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkenaan dakwaan terdapat sedikit pergeseran antara segelintir pihak dalam BN kebelakangan ini khususnya menjelang PRU14.

Beliau berkata demikian selapas merasmikan program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak, dekat sini, pada Isnin.

Antara yang hadir, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Mengulas lanjut tentang program, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang ditemui berkata, sambutan warga Perak terhadap program tersebut adalah yang terbaik berbanding di negeri lain.

Pada program tersebut, turut disampaikan bayaran khas ‘one off’ kepada para imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seluruh daerah yang berjumlah keseluruhannya RM66 juta.

Ia merupakan inisiatif kerjaan menerusi pembentangan belanjawan negara pada tahun lepas.

“Program ini bukanlah sekadar hanya menjadi saluran untuk menyampaikan sumbangan sebaliknya, ianya juga medium untuk bertemu dengan semua ‘murabbi’ dan kita juga mengambil kesempatan untuk menyatakan kepada mereka bahawa kerajaan tidak sesekali meminggirkan Islam,” kata Asyraf Wajdi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");