Jenayah

Dadah Jadi Motif?

SERDANG: Pemilik restoran yang mati ditembak di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang semalam, dipercayai dibunuh akibat persaingan dalam urus niaga penjualan dadah di sekitar daerah ini.

Sumber polis berkata, G Ganeshan, 39, dipercayai mempunyai hubungan dengan rangkaian pengedar dadah setempat.

“Polis meneliti beberapa aspek termasuk pembabitan mangsa dalam pengedaran dadah di sekitar Serdang yang mungkin menjadi antara motif pembunuhannya.

“Mungkin ada pihak tidak berpuas hati berhubung urusan jual beli (dadah),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, mangsa pernah ditahan polis berhubung kesalahan jenayah dan dadah, sekali gus rekod jenayah lampau diambil kira dalam siasatan berhubung motif pembunuhannya.

Polis turut menyiasat jika mangsa mempunyai pembabitan dengan kongsi gelap.

Dalam kejadian jam 5.45 petang semalam, Ganeshan maut selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal ketika menunggu anak lelakinya yang berusia lapan tahun selesai sesi persekolahan di perhentian bas SK Sri Serdang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi hari ini berkata, lapan kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian.

“Siasatan masih diteruskan, termasuk mengenal pasti latar belakang dan kegiatan mangsa.

“Beberapa petunjuk baharu diharap dapat membantu penyelesaian kes,” katanya.

Sementara itu, sepupu Ganeshan, T Kanna, 32, berkata rutin harian mangsa banyak berkisar kepada menguruskan resoran dan anak-anaknya, termasuk menjemput dua anaknya dari sekolah sebelum pulang ke rumah pada sebelah petang.

“Dia jarang berada di luar kerana kebanyakan masa dihabiskan di rumah atau restoran,” katanya ketika ditemui di Unit Patologi dan Forensik, Hospital Serdang di sini, hari ini.

Kanna berkata, pembunuhan Ganeshan mengejutkan seluruh keluarga terutama isterinya.

“Saya bertemunya buat kali terakhir tengah hari semalam sebelum kakak Ganeshan memberitahu mengenai kejadian itu,” katanya.

Mayat mendiang akan dibawa ke Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan untuk disemadikan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");