Jenayah

Dah Tak Tahan Kena Buli!

BUKIT BERUNTUNG – Bapa kepada seorang pelajar di sebuah pusat tahfiz di Hulu Yam di sini, menuntut keadilan agar tindakan diambil terhadap pelajar senior yang didakwa memukul anaknya.

Mangsa berusia 13 tahun baharu dua bulan belajar di pusat tahfiz itu mendakwa dibuli dan dipukul dua pelajar senior berusia 14 tahun.

Perbuatan kedua-dua pelajar senior itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kaki kanan dan lebam di beberapa bahagian badan selepas diterajang dan tumbuk dua pelajar senior terbabit.

Akibat tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa bersama seorang lagi rakan yang turut dibuli senior bertindak melarikan diri dari pusat tahfiz itu, kira-kira jam 4.30 pagi, Sabtu lalu.

Mangsa kemudian ditemani bapa membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa.

Bapa mangsa, Syed Husain Syed Abu Samah, 38, berkata, kejadian tersebut berlaku setiap hari kerana anaknya enggan menuruti arahan pelajar senior yang meminta untuk mengambil air minuman serta jubah.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadap pelajar dan (kecuaian) pihak pusat tahfiz sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman terhadap anak sulung saya.

“Biar undang-undang yang tetapkan segalanya demi membela nasib anak saya dan rakannya serta berharap perkara seumpama ini tidak berlaku serta menimpa pelajar lain terutama di institusi tahfiz seperti ini,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Sementara itu, mudir pusat tahfiz berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan namun pihaknya mengambil tindakan awal menggantung pengajian dua pelajar senior terbabit serta-merta.

Menurutnya, pusat tahfiz akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan pelajar senior serta kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");