Perak Hari Ini

DAP Dakwa MAPS Akan Jadi Projek Gajah Putih

IPOH: DAP Perak mendakwa Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) akan menjadi sebuah projek agensi kerajaan negeri yang gagal disebabkan tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan likuidasi ataupun penggulungan syarikat kepada The Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd, selaku kontraktor utama dan pemegang saham terbesar.

Penasihatnya, Datuk Ngeh Koo Ham berkata MAPS dibangunkan oleh Animation Theme Park Sdn Bhd yang mana 51% sahamnya kepunyaan sebuah agensi kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad (PCB) Development.

Ujarnya, 49% saham Animation Theme Park pula dimiliki RSG MAPS Sdn Bhd yang mana 70% saham syarikat ini pula dipegang The Sanderson Design Group.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu juga mendakwa disebabkan perintah penggulungan syarikat yang dikeluarkan pada 15 Februari lalu, kini seorang pelikuidasi syarikat telah dilantik bagi mengambil alih pengurusan The Sanderson Design Group.

“Tindakan ini perlu, jika tidak penyitaan syarikat akan berlaku kerana syarikat ini mempunyai hutang dengan beberapa syarikat yang lain. Seluruh projek juga akan berhenti.

“Jika tidak ada sebarang tindakan untuk memulihkan projek ini dalam mendapatkan (semula) keuntungan, projek ini akan terbengkalai dan akan menjadi sebuah projek Gajah Putih,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan DAP Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Selain itu, beliau turut mendakwa walaupun PCB hanya pemegang saham sebanyak 51% namun, jumlah hutang menerusi pinjaman bank sebanyak RM280 juta akan ditanggung sepenuhnya syarikat tersebut.

“Selain hutang, pada khidmat saya, untuk bank memberi pinjaman RM280 juta, sudah pasti bank tidak akan membiayai kos keseluruhanya. Jadi berapa jumlah bayaran yang telah PCB laburkan kepada projek ini?

“Dalam erti kata lain, PCB telah membayar sebahagian wang untuk projek ini,” katanya yang mendakwa kerugian ini akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, selain mendakwa MAPS hanya dikunjungi tidak lebih 200 orang pengunjung pada satu-satu hari, ADUN Canning, Wong Kah Woh turut mempersoalkan kelewatan pembukaan fasiliti Dream Zone di taman tema berkenaan yang juga didakwa akan mendatangkan kerugian besar kepada pemaju.

“Saya difahamkan setiap bulan MAPS perlu membayar sejumlah wang royalti kepada DreamWorks Animation selaku pemilik hak intelek.

“Jika dilihat menerusi iklan-iklan, Dream Zone merupakan tarikan utama namun peroalannya mengapa sudah dua bulan tertangguh (pembukaanya)”, ujarnya.

Untuk tambahan, likuidasi adalah satu proses di mana aset syarikat akan dikumpul dan dicairkan bagi tujuan pembayaran hutang syarikat kepada pemiutang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");