Membawang Hari Ini

Diganggu Penyakit Misteri, Nonny Jalani Rawatan Perubatan Islam

KURANG dua minggu tarikh pernikahannya, pelakon Nonny Nadirah berdepan dugaan apabila mengalami penyakit misteri menyebabkan dia tidak boleh bangun sejak minggu lalu.

Nonny, 29, yang bakal melangsungkan pernikahan dengan Mustain Adnan pada 18 Mac ini berkata, dia pernah mengalami masalah yang sama empat tahun lalu, namun ia muncul semula ketika dia sibuk membuat persiapan kahwin.

“Selepas sekian lama, secara tiba-tiba ia menyerang kembali. Dalam pada sibuk membuat persiapan kahwin, saya pula jatuh sakit.

“Selama tiga hari saya hanya duduk di rumah tidak boleh bangun dan terbaring saja. Apabila dibawa menjalani rawatan perubatan Islam, saya dikatakan diganggu ‘sesuatu’. Ia sama seperti yang pernah terjadi sebelum ini.

“Namun, saya hanya berfikiran positif dan tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Saya perlu kuat dan lawan. Saya anggap ini dugaan apabila mahu berkahwin,” kata­nya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Nonny yang kini popular dalam drama Melankolia di TV3 berkata, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bersikap dengki atau cemburu dengannya.

Menurut Nonny, dia bersyukur apabila persiapan kahwin berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

“Ustaz yang merawat saya memaklumkan berkemungkinan ada pihak yang dengki dan cemburu. Namun, saya tidak mahu tuduh sesiapa kerana nanti jatuh fitnah.

“Saya juga tidak pasti sama ada penyakit ini sama dengan yang dulu atau tidak. Apa yang penting, saya perlu banyakkan berdoa dan jaga solat,” katanya.

Ditanya mengenai majlis pernikahannya, Nonny berkata, buat masa sekarang sudah 80 peratus siap. Dia turut mendapat 50 peratus penajaan daripada Suri Malai Ali.

Majlis pernikahan dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah dan majlis persandingan akan diadakan di lokasi sama pada sebelah malam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");