Membawang Hari Ini

‘Doa Dua Tahun Termakbul’

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun menanti, pelakon Mardiana Alwi, 30, bersyukur impian menjadi ibu bakal terlaksana apabila kini hamil enam bulan.

Mardiana yang turut aktif di pentas teater berkata, sepanjang penantian itu, dia dan suaminya, Abdul Aziz Rahamat, 36, tidak putus asa berusaha serta berdoa supaya dikurniakan zuriat sebagai penyeri rumah tangga mereka.

“Saya percaya, Allah akan memberikan rezeki tepat pada waktunya. Mungkin sebelum ini, Allah mahu saya dan suami menghabiskan dulu masa bersama serta menghargai antara satu sama lain.

“Disebabkan itu, kami berdua tidak pernah tertekan apabila terpaksa menanti sedikit masa untuk mendapatkan zuriat. Kami cuba menikmati hidup ini sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, Tuhan akhirnya memberikan juga saya rezeki untuk merasai pengalaman indah sebagai bakal ibu. Sukar untuk saya gambarkan perasaan apabila dikurniakan Allah anugerah yang tidak ternilai ini,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Mardiana yang popular menerusi drama Akadku Yang Terakhir dan Isteri Tuan Ihsan diijabkabulkan dengan Abdul Aziz yang juga seorang jurutera pada 21 November 2015.

Bakal melahirkan anak lelaki, pelakon kelahiran Kuala Selangor, Selangor itu bersyukur kerana tidak mengalami alahan teruk yang menghalangnya daripada bekerja.

Menerima tawaran mengikut kemampuan diri, Mardiana terbabit dengan pementasan teater, Mak Yong Titis Sakti di KL Pac, awal bulan lalu, selain menjayakan drama radio, Mega Di Ufuk Timur untuk siaran IKIM.

Dia juga sedang melunaskan baki penggambaran drama Mr Grey.

“Saya agak berhati-hati sebelum menerima tawaran untuk menjaga kandungan. Seperti wanita hamil lain, saya berharap segala urusan untuk melahirkan bayi sulung ini dipermudahkan.

“Saya teruja melalui pengalaman baharu ini, malah banyak membaca untuk menambah pengetahuan dan sebagai persediaan menjadi bakal ibu,” katanya.

Menyentuh mengenai perjalanan kerjaya seni, Mardiana yang mula berlakon sejak 2013 tidak terkilan apabila namanya masih belum meledak.

“Saya percaya kepada rezeki. Saya di sini untuk mempertaruhkan bakat dan mahu penonton menilai kualiti yang ada pada diri. Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan selebihnya, itu urusan Allah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");