Jenayah

Dua Mati Ditembak Aktif Samun Dan Pecah Rumah

SEREMBAN: Dua penjenayah yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Persiaran Ainsdale Selatan di sini, awal pagi tadi, disyaki terbabit dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di negeri ini dan Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata identiti kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku apabila polis yang menjalankan rondaan melihat kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seremban 2-Labu di sini, lalu mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan pada jam 3.15 pagi.

“Sebaliknya, suspek memecut kenderaan sebelum dikejar polis sejauh dua kilometer dan berjaya menghalang kenderaan mereka di lokasi kejadian. Suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan melepaskan empat das tembakan, manakala pemandu meluru keluar dan melibas parang ke arah polis.

“Polis kemudian melepaskan lima das tembakan ke arah kedua-dua suspek sebagai tindakan mempertahankan diri, sekali gus menyebabkan kedua-dua suspek maut di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Adzli Abu Shah dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh.

Noor Azam berkata, mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan mengenal pasti identiti suspek sama ada rakyat tempatan atau warga asing, selain mengenal pasti sama ada suspek terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta digunakan suspek menemui sepucuk revolver .38 berisi empat kelongsong peluru dan dua butir peluru hidup serta dua bilah parang, lima keping nombor plat palsu, selain sebuah beg berisi peralatan pecah rumah serta 17 butir peluru hidup.

“Malah, pemeriksaan lanjut mendapati kereta digunakan suspek itu juga dilaporkan disamun di Klang, Selangor dan menggunakan nombor plat palsu,” katanya.

NoorAzam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");