Sukan Hari Ini

Elak Sikap Selesa Dalam Saingan Piala FA

KETUA jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal mengingatkan pemainnya supaya tidak berasa terlalu selesa selepas mengejutkan juara dua kali Piala FA, Kelantan 4-1 pada aksi pusingan ketiga pertandingan bola sepak berkenaan di Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.

Sebaliknya,bekas pengendali skuad senior kebangsaan itu menuntut pemain skuad ‘Semut Merah’ supaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala FA.

“Meskipun kami menang selesa ke atas Kelantan pada malam ini, namun ia bukan memberi pemain kedudukan yang selesa kerana kami perlu bersedia untuk peringkat yang seterusnya,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan, malam tadi.

Dalam pada itu, Rajagobal mendedahkan pemainnya mengambil mudah ancaman pasukan Kelantan pada babak kedua perlawanan sehingga memberi peluang kepada pasukan lawan untuk melancarkan serangan bertali arus dan berharap perkara berkenaan dapat diatasi pada aksi suku akhir nanti.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata khidmat Yusri Che Lah selaku pengendali sementara skuad ‘The Red Warriors’ masih dikekalkan sehingga penghujung musim ini walaupun Kelantan tersingkir daripada saingan Piala FA.

Bibi Ramjani mendedahkan KAFA akan membuat rombakan besar-besaran pemain import selain memantapkan aspek pengurusan kewangan menjelang Mei nanti.

“Sebenarnya prestasi mana-mana pasukan pun tidak stabil sebenarnya dengan pemain import ini, jadi kalau permainan pasukan kita masih di takuk lama, saya rasa satu perubahan besar-besaran perlu dilakukan untuk memperbaiki prestasi pasukan ini,” jelasnya.

Pada aksi di Shah Alam, PKNS FC selesa mendahului Kelantan 4-0 hasil sepakan penalti Romel Oswaldo Morales Ramirez pada minit ke-17 selain tiga gol padang daripada Mahalli Jasuli (minit ke-43), Safee Sali (minit ke-60) dan Rafael Ramazotti de Quadros pada minit ke-67.

Pasukan Kelantan berjaya mendapatkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar pada masa kecederaan separuh masa kedua perlawanan lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");