Berita Hari Ini

Felda Dijangka Dapat Kembali Hak Milik Tanah Jalan Semarak Minggu Depan

KLUANG: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka mendapat kembali hak milik tanah agensi berkenaan di Jalan Semarak, minggu depan.

Mengesahkan perkara tersebut, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata urusan penukaran semula nama pemilik tanah di Jalan Semarak itu dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“Minggu depan, InsyaAllah selesai. Menjelang minggu hadapan semua (dijangka) selesai. Saya akan tunjuk bukti geran pendaftar di Kuala Lumpur, tidak bolehlah dekat Johor,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Orang Felda Sembrong Kita di padang Felda Ulu Penggeli, lapor Bernama.

Shahrir berkata pihaknya mengambil tempoh dua bulan untuk menyelesaikan pemilikan tanah itu selepas menandatangani perjanjian dengan pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Ditanya sama ada laporan polis akan ditarik balik berikutan pemindahan hak milik tanah itu hampir selesai, beliau berkata penyiasatan akan diteruskan memandangkan pihak polis dan siasatan dalaman Felda percaya terdapat unsur meragukan dalam proses pindah milik tanah itu sebelum ini.

Bulan lepas, Felda dilaporkan akan memperoleh tanahnya tanpa kos di Jalan Semarak daripada SPSB.

Isu hak milik tanah Felda itu terbongkar pada Disember lepas, apabila sebuah akhbar tempatan mendedahkan Felda berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta itu bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Shahrir berkata 461 peneroka daripada enam tanah rancangan Felda di Parlimen Sembrong menerima hak milik geran tanah mereka.

Sehingga kini, 1,677 daripada 2,285 peneroka Felda di Sembrong sudah menerima geran tanah masing-masing.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Anggota Parlimen Sembrong yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");