Sukan Hari Ini

Gantikan F1 Dengan Perlumbaan Beri Pulangan Kepada Negara – SIC

KUALA LUMPUR: Promoter sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) sedang menyediakan pelbagai program dan inisiatif bagi mengisi kekosongan ditinggalkan perlumbaan Formula Satu (F1) dengan membangunkan bakat tempatan dalam beberapa segmen.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata kekosongan ditinggalkan perlumbaan F1 itu harus diisi dengan penganjuran perlumbaan empat roda lain yang mendapat sokongan padu daripada penonton, serta mengambil kira pulangan kepada negara.

“Kita memerlukan perlumbaan yang mempunyai impak ekonomi. Sebelum penganjuran perlumbaan itu, kita harus mewujudkan kesedaran dan minat terhadap perlumbaan itu dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan.

“Tiada ertinya jika perlumbaan itu dapat menarik lebih banyak penonton asing berbanding peminat tempatan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan program SIC untuk bakat saingan dua dan empat roda musim 2018 di sini pada Selasa lapor Bernama.

Antara bakat saingan empat roda yang hadir pada majlis berkenaan adalah Jazeman Jaafar, Afiq Ikhwan Yazid, Weiron Tan, Nabil Jeffri dan Mitchell Cheah.

Pelumba arena dua roda pula ialah Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP), Zulfahmi Khairuddin (Moto2), Adam Norrodin (Moto3) serta pelumba program pencarian bakat SIC, ‘Impian ke MotoGP’ – Danial El Fahim, Muhammad Hrith Hazziq, Muhammad Izam Ikmal, Mohd Daniel Syahmi dan Muhammad Idil Fitri.

Dalam segmen empat roda, pelumba terkemuka negara – Jazeman, Weiron, Afiq Ikwan dan Nabil – akan bersaing dalam Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) dan perlumbaan 24 Jam Le Mans, manakala Mitchell akan menyertai TCR Asia 2018.

“SIC baru menandatangani perjanjian dengan pasukan hebat dan mantap, Jackie Chan DC Racing X Jota tahun ini. Kesemua pelumba Malaysia akan meneruskan saingan bersama pasukan ini selepas membuat penampilan sulung pada akhir musim 2017-2018 dan akan bersaing dalam perlumbaan berprestij Siri Super WEC 2018/19 yang termasuk dua perlumbaan 24 Jam Le Mans bermula Julai ini,” kata Razlan.

Pasukan Jackie Chan DC Racing, yang dimiliki oleh David Cheng dan pelakon legenda Jackie Chan, mencapai kejayaan membanggakan di Asia dan seluruh dunia walaupun baru ditubuhkan pada 2015.

Selain bermatlamat mengembangkan bakat pelumba, Razlan berkata kerjasama itu juga bertujuan untuk mempromosikan perlumbaan di Malaysia.

“Selain mempunyai pasukan yang bagus, jurutera yang bagus juga diperlukan bagi membantu dari segi teknikal, malah kehadiran Jackie Chan sendiri juga akan meningkatkan promosi terhadap perlumbaan berkenaan,” katanya.

Terdahulu dalam taklimatnya, Razlan berkata bahawa dalam segmen empat roda, beberapa haluan dikenal pasti bagi pelumba untuk mencapai kemajuan dalam karier mereka.

“Bakat-bakat ini akan berpeluang untuk beraksi di Formula Renault Asia F4 Asia Tenggara (F4SEA), siri F4 Eropah dan akhirnya siri F3 di Eropah,” kata Razlan.

“Bagi mewujudkan minat, kita perlu memulakannya daripada peringkat serantau sebelum menganjurkannya di peringkat kejuaraan dunia. Dari awal lagi, impian kita adalah membuka jalan kepada bakat sukan permotoran tempatan untuk bersaing dalam perlumbaan tertinggi sama ada MotoGP atau F1.

“Kita sentiasa percaya bahawa bakat kita mempunyai kualiti untuk satu hari nanti beraksi di perlumbaan tertinggi, namun mereka berdepan halangan. Di sinilah kita (SIC) hadir untuk membantu mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");