Berita Hari Ini

Hishammuddin Selar Kumpulan Pengacau Sabah

KOTA BELUD – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar pihak-pihak tertentu yang cuba memecahkan perpaduan masyarakat terutamanya Sabah ketika PRU14 akan datang.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau berkata, mereka ini hanya muncul bermusim dan membuat kenyataan atas kepentingan politik tertentu.

“Bagaimanapun, saya percaya rakyat Sabah tidak akan terpengaruh dengan tindakan mereka ini.

“Menjelang PRU14, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan polis akan melakukan kerjasama sebaik mungkin bagi memastikan rakyat melakukan tanggungjawab (mengundi),” katanya selepas menyaksikan Demonstrasi Keupayaan ATM di Lapang Udara hari ini lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, bagi menghadapi PRU14 akan datang, ATM menerusi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan dan Cawangan Khas (SB) sentiasa menjalinkan kerjasama perisikan agar anasir luar tidak mengganggu gugat ketenteraman negara.

“Kita juga ada melakukan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa negara jiran bagi memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya.

Sebelum itu, beliau bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyaksikan Demonstrasi Keupayaan ATM yang melibatkan 15 aset udara, enam jenis kereta perisai dan 30 penerjun dari pasukan Para, Pasukan Khas Laut dan Pasukan Khas Udara.

Demonstrasi itu turut mendapat sambutan lebih 3,000 penduduk Kota Belud.

Demonstrasi keupayaan melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia itu turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia berkata, antara 15 pesawat yang digunakan antaranya adalah, helikopter Agusta, Fennec EC725 dan jet pejuang Sukhoi.

“Demonstrasi Keupayaan ATM ini membuktikan profesionalisme ketiga-tiga perkhidmatan dalam kesiagaan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, ATM juga mengadakan pameran statik dan aset di lokasi demonstrasi bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

“ATM juga menyediakan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma kepada masyarakat setempat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");