Isu Panas

Hutang Negara Melonjak RM416 Bilion Jika Pakatan Berkuasa

ARAU: Datuk Seri Najib Razak berkata, beban hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta tol dihapuskan seperti dijanjikan pakatan harapan (PH) menerusi manifesto pilihan raya mereka.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan GST dan tol sahaja akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara berjumlah RM410 bilion, tidak termasuk hutang sedia ada yang lain.

Sambil menyifatkan tawaran PH itu sebagai tidak masuk akal, Perdana Menteri berkata, beban hutang itu akan ditanggung rakyat dan golongan yang paling terkesan adalah generasi muda.

Sambil menegaskan beliau sendiri tidak bersetuju dengan sistem tol lebuh raya yang diwarisi dari pemimpin sebelum ini, Najib berkata, kerajaan tidak mampu menghapuskan semua tol sekaligus seperti ditawarkan PH, hanya kerana mahu menjadi populis.

“Kita dengar puak sana (pembangkang) nak mansuh GST, kalau mansuh kita kekurangan hasil yang akan menyebabkan separuh pembangunan kita tidak boleh buat, malah elaun tambahan dan kenaikan tahunan penjawat awam pun tidak dapat.

“Tol pun dia mahu hapus. Saya tidak suka tol tetapi mewarisi sistem ‘orang tua’ yang buat sebelum ini. Apabila ditambah hutang akibat penghapusan GST dan kutipan tol dengan hutang lain, hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion.

“Dia (PH) punya manifesto dahsyat…nanti adik-adik (pelajar) yang nak kena tanggung,” katanya ketika berucap di hadapan 3,000 penuntut institusi pengajian tinggi pada Program Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Yang turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Najib berkata, berbanding tawaran pakatan pembangkang yang bersifat populis, kerajaan mengambil langkah mengurangkan beban rakyat dengan menghapuskan kutipan tol pada empat lebuh raya dan akan meneruskannya terhadap beberapa lokasi lain secara berperingkat-peringkat.

“Kalau tidak mampu buat kita akan beritahu tidak mampu tetapi percayalah kita sentiasa berfikir dalam memenuhi setiap keperluan rakyat kerana rakyat sentiasa didahulukan,” katanya lagi.

Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan kutipan tol pada empat lokasi, masing-masing dua di Selangor, satu di Kedah dan Johor dimansuhkan bermula 1 Januari lalu.

Pemansuhan kutipan itu membabitkan tol di Batu Tiga, Shah Alam; Sungai Rasau, Klang; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.

Dalam ucapannya, Najib juga memaklumkan kumpulan mahasiswa itu yang kerajaan sedang melaksanakan beberapa projek utama yang akan akan siap dalam tempoh lima tahun bagi menyediakan landskap ekonomi yang baik untuk generasi masa depan.

“Kita sedang menyediakan landskap ekonomi yang baik kepada generasi akan datang dan dalam tempoh lima tahun lagi Malaysia akan berwajah baharu apabila projek seperti Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tun Razak Exchange (TRX),” katanya.

“Inilah yang kita lakukan demi generasi akan datang, dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk masa depan kerana walaupun universiti kita berjaya melahirkan graduan yang berkemahiran, tanpa sistem ekonomi yang baik efektif, para graduan tidak akan dapat mendapat peluang pekerjaan,” ujarnya lagi.

Pada majlis yang dikendalikan selebriti Fizo Omar itu juga, Perdana Menteri turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan pelajar menerusi aplikasi Sli.do.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");