KUALA LUMPUR: Dalam banyak lokasi di Malaysia, rupa-rupanya, bintang rap, SonaOne menggemari Ipoh sehingga projek album pertamanya diilhamkan daripada bandaraya yang menjadi ibu negeri Perak Darul Ridzuan itu.
SonaOne memberitahu, dua lagu berjudul Tahi Lalat dan I Don’t Care diciptanya ketika sedang bercuti di Ipoh, kira-kira tujuh tahun lalu.
“Sebenarnya, saya sudah lama menunggu tawaran untuk membuat persembahan di bandaraya Ipoh yang menyimpan seribu kenangan buat saya.
“Di Ipoh saya beroleh inspirasi untuk menghasilkan album pertama. Sejarah, masyarakat, makanan dan bangunan di bandaraya ini menjadikan Ipoh cukup berbeza,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.
SonaOne berkata, undangan membuat persembahan pada sebuah konsert anjuran sebuah media swasta di Ipoh, Sabtu lalu, cukup mengujakan dirinya biarpun kurang sihat.
Pada persembahan itu, SonaOne mendendangkan tiga lagu iaitu No More, Hek Eleh dan Firefly.
Sementara itu, SonaOne atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 29, berkongsi projek album terbaharu yang dijangka menjengah pasaran, tahun ini.
“Saya sedang memilih material untuk dimuatkan dalam album terbaharu yang menampilkan kelainan daripada segi muzik. Ini kerana saya suka berekperimentasi ketika berkarya.
“Namun saya tidak mahu berkongsi lebih lanjut kerana mahu memberi kejutan kepada peminat,” kata jejaka berdarah campuran Melayu-Perancis ini.
SonaOne berkata, kali terakhir dia tampil dengan album adalah dua tahun lalu.
“Saya mahu menghasilkan produk baharu yang mempunyai kelainan daripada segi format namun mengekalkan genre hip-hop,” katanya.
Tambah jejaka ini, dia sedia bekerjasama dengan penyanyi lain yang mahu mendapatkan karyanya.
“Saya terbuka bekerjasama dengan penyanyi yang mahu membawa muzik ke peringkat lebih tinggi,” katanya.