Sukan Hari Ini

Kalah Tak Beri Kesan Kepada Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan percaya kekalahan Datuk Lee Chong Wei di suku akhir Seluruh England, awal pagi tadi tidak akan memberi kesan kepada jaguh negara itu dalam persiapan menghadapi Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Hasrat Chong Wei untuk mempertahankan gelaran juara Seluruh England yang dimenanginya tahun lalu lebur selepas tewas kepada musuh tradisinya, Lin Dan dari China 16-21, 17-21 dalam aksi suku akhir di Birmingham.

Kekalahan itu turut menyaksikan Chong Wei terlepas peluang untuk mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia paling banyak merangkul gelaran kejohanan tertua dan berprestij itu selepas merekodkan kejuaraan empat kali sekali gus berkongsi rekod dengan dua legenda negara, Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Choong.

Menurut Hendrawan, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan kekalahan itu kerana fokus Chong Wei yang lebih utama adalah Sukan Komanwel dengan misi menyumbangkan emas kepada kontinjen Malaysia.

“Saya percaya Chong Wei akan bangkit, fokus sekarang adalah menghadapi Sukan Komanwel. Chong Wei masih ada dua minggu untuk buat persiapan bagi menghadapi Sukan Komanwel, kita akan menilai prestasinya dalam kejohanan Seluruh England dan cuba perbaiki apa kelemahan yang ada.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan kekalahan ini.

“Untuk perlawanan dengan Lin Dan, Chong Wei bermain dengan agak perlahan berbanding lawannya itu yang cukup agresif. Apapun, Chong Wei sudah cuba buat yang terbaik,” kata Hendrawan ketika dihubungi di Birmingham, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Sebagai rekod, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali sudah memenangi gelaran Seluruh England sebanyak empat kali bermula 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Sementara itu, Chong Wei akur dengan kekalahan itu dan mengakui Lin Dan bermain lebih baik berbanding dirinya namun berjanji akan bangkit terutama menghadapi Sukan Komanwel.

“Saya cuba melakukan serangan tetapi dia bertahan dengan baik, semua pukulan saya dia berjaya kembalikan. Strategi permainan saya tidak menjadi dalam perlawanan ini,” kata pemain berusia 36 tahun itu.

Di Gold Coast, Chong Wei akan beraksi dalam dua acara iaitu berpasukan campuran dan perseorangan lelaki.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");