Sukan Hari Ini

Kekal Dengan Sasaran Tiga Emas – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu memberi tekanan kepada jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, dan sehubungan itu, mereka tetap kekal dengan sasaran awal membawa pulang tiga emas.

Tiga sasaran emas pingat sebelum ini disasarkan untuk acara badminton berpasukan campuran, beregu campuran serta beregu lelaki dan kehadiran Chong Wei dikatakan mampu menambah sebutir lagi pingat emas.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, ketika ini mereka tetap degan sasaran tiga pingat emas walaupun Chong Wei hadir selaku pemain perseorangan lelaki serta akan membantu skuad berpasukan campuran.

“Pada masa sekarang sasaran kita tetap meraih tiga emas dari enam yang ditawarkan. Saya rasa ia masih sasaran realistik melihat pada persiapan dan prestasi semasa. Kita kekal dengan sasaran emas acara berpasukan campuran, beregu campuran dan beregu lelaki,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Senheng dan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara lapor Berita Harian.

Jelasnya, jika berjaya meraih emas melalui perseorangan lelaki (Chong Wei), ia melebihi sasaran yang ditetapkan badan induk itu.

“Bagi saya, persaingan dalam perseorangan lelaki sangat sengit dengan kehadiran wakil dari India, namun tidak mustahil kita boleh membawa pulang lebih daripada tiga emas.

“Saya tahu Chong Wei mampu beraksi cemerlang, tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atasnya,” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Sementara itu, pengurus pasukan, Taupik Hussain mengakui skuad badminton negara sudah melakukan persiapan mantap dan bersedia untuk menghadapi temasya berkenaan yang dijadualkan pada bulan depan.

“Daripada aspek persiapan, tidak mustahil Chong Wei mampu meraih dua emas dan kehadirannya mampu meningkatkan motivasi. Dia boleh diibaratkan sebagai ikon kepada pemain negara yang lain.

Semalam, Chong Wei mengakui dia bersedia untuk memburu dua pingat emas sekaligus mencipta sejarah sebagai atlet terbaik dalam sejarah Sukan Komanwel.

Pemain berusia 36 tahun itu yang dijangka membuat penampilan terakhir di temasya berkenaan di Gold Coast, Australia dan setakat ini sudah pernah memenangi empat emas.

Bekas rakan sepasukannya, Koo Kien Keat, masih lagi memegang kedudukan teratas dengan dengan meraih lima emas, apabila memenanginya pada edisi 2006 di Melbourne (beregu lelaki dan berpasukan campuran) dan tiga lagi ketika temasya edisi 2010 di New Delhi, India.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");