Berita Hari Ini

Kematian Sudan Lambang Kezaliman Manusia

NAIROBI: Badak sumbu putih utara jantan terakhir di dunia akhirnya mati selepas bertarung dengan jangkitan penyakit selama berbulan-bulan.

Meskipun banyak usaha untuk menyelamatkannya sudah dilakukan, kematiannya itu sepatutnya membuka mata dunia tentang kesalahan manusia sejak sekian lama.

Badak sumbu bernama Sudan, yang berusia 45 tahun itu terpaksa diberikan suntikan maut di Pusat Konservasi Ol Pejeta di Kenya selepas lama menderita akibat penyakit yang semakin teruk dan ada kaitan dengan usianya.

Setelah kematiannya, spesiesnya kini hanya diteruskan dengan cuma dua badak betina, iaitu anak dan ‘cucu’nya.

“Kematiannya adalah lambang kezaliman manusia yang tidak menghormati alam hidupan liar, dan ini memilukan sesiapa sahaja yang mengenali Sudan,” ujar Jan Stejskal dari Zoo Dvur Kralove di Republik – tempat Sudan dijaga sehingga tahun 2009.

Bagaimanapun, Stejskal mengingatkan agar manusia tidak boleh berputus asa.

“Kita perlu manfaatkan situasi unik ini iaitu teknologi selular digunakan dalam konservasi spesies yang sangat terancam.

“Ia mungkin kedengaran mustahil. Namun terima kasih kepada teknologi baharu, Sudan masih memiliki anak,” ujarnya lapor Astro Awani.

Tumpuan kini diberikan kepada penyempurnaan teknik persenyawaan in-vitro (IVF) menggunakan benih Sudan yang telah disimpan, serta yang diperoleh daripada empat lagi badak sumbu yang telah mati.

Mengapa spesies badak sumbu ini sangat istimewa?

Badak sumbu yang terbahagi kepada lima spesies, merupakan haiwan mamalia daratan kedua terbesar selepas gajah.

Badak sumbu putih pula terdapat dua sub-spesies iaitu badak sumbu putih selatan, dan badak sumbu putih utara.

Sudan, yang kalau mengikut usia manusia berumur 90 tahun, adalah jantan terakhir dalam sub-spesies yang sangat terancam tersebut. Sebelum ini, seekor badak sumbu jantan dalam spesiesnya mati secara semula jadi pada tahun 2014.

Sebahagian besar populasi sub-spesies itu yang hidup di Uganda, Republik Afrika Tengah, Sudan dan Chad telah menjadi mangsa pemburuan haram sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Aktiviti pemburuan haram itu antara lain didorong permintaan tinggi sumbu badak dalam perubatan tradisional Cina, selain dijadikan pemegang senjata di Yaman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");