Berita Hari Ini

Kepolisan Komuniti Bantu Banteras Jenayah Ringan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu program kepolisan komuniti yang membabitkan polis, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan rakyat dipertingkatkan bagi mengurangkan kadar jenayah terutama jenayah ringan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata program kepolisan komuniti perlu diberikan penekanan utama kerana mempunyai keberkesanan yang tinggi untuk membanteras jenayah berikutan pembabitan orang awam.

Katanya, walaupun kadar jenayah secara keseluruhannya menurun pada peratusan yang cukup baik, jenayah ringan masih mencatatkan peningkatan sehingga menimbulkan persepsi negatif rakyat.

“Oleh yang demikian, usaha untuk membanteras jenayah ringan ke peringkat yang minimum hendaklah dilakukan. Kita tidak boleh membebankan hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan usaha ini.

“Maka MCPF sebagai jambatan utama di antara rakyat dan PDRM akan memainkan peranan lebih aktif bagi menentukan soal penurunan kadar jenayah dan (mengurangkan) perspektif (negatif) rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 MCPF di Maktab PDRM, Cheras di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Timbalan Pengerusi MCPF, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ahmad Zahid berkata, apabila rakyat menyertai program itu, mereka bukan saja menjadi mata dan telinga kepada PDRM untuk melaporkan kejadian jenayah tetapi hubungan kerjasama antara penduduk setempat dan MCPF menunjukkan keberkesanan yang baik.

“Saya menyeru kepada rakan daripada pelbagai kaum supaya melakukan beberapa tindakan untuk menambah baik usaha pencegahan jenayah menerusi kepolisan komuniti,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");