Isu Panas

Kerajaan Berjaya Batal Saman Anwar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa sabitan bersalah tuduhan liwat ke atasnya diperoleh melalui penipuan, hari ini.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap afidavit dan hujahan dikemukakan oleh plaintif dan defendan.

Dalam penghakiman lisannya, Nik Hasmat berkata, Anwar selaku plaintif tidak mendedahkan kausa dan tindakan munasabah untuk memulakan tindakan saman itu.

“Selepas mengkaji dan mempertimbangkan secara maksima, saya dapati jelas defendan berjaya membuktikan daripada prinsip yang mantap dan segi undang-undang,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Selain itu, beliau juga memutuskan saman tersebut remeh, menyusahkan dan menyalahkan gunakan proses mahkamah.

Nik Hasmat berkata, pihak pendakwaan mempunyai kuasa mutlak memulakan pendakwaan terhadap sesiapa sahaja dan ia tidak boleh dipertikaikan.

“Plaintif perlu membuktikan dakwaan berhubung penipuan secara jelas dan terperinci, bukannya secara konstruktif.

“Untuk membuktikan frod (penipuan) plaintif perlu memperihalkan dan membuktikan perkara itu secara terperinci,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak nampak siapa pegawai pendakwaan atau saksi pendakwaan yang dikatakan berbohong semasa memberi keterangan di mahkamah.

“Sekiranya perkara itu diperincikan, defendan mungkin boleh menjawabnya,” katanya.

Tambahnya, plaintif telah didapati tidak bersalah di Mahkamah Tinggi dan hanya disabitkan ketika rayuan di Mahkamah Rayuan dan dikekalkan di Mahkamah Persekutuan.

“Adalah tidak tepat mengaitkan sabitan selepas selesai melalui segala prosiding perbicaraan sehingga di peringkat mahkamah tertinggi,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Anwar membayar kos RM5,000 kepada kerajaan selaku defendan.

Sementara itu, peguam N Surendran yang mewakili Anwar berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Kerajaan mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan Anwar kerana mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan dan pengesahannya oleh Mahkamah Persekutuan, bahawa beliau bersalah meliwat adalah batal dan tidak sah, dan boleh diketepikan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950.

Melalui pernyataan tuntutan difailkan pada 17 April 2017, bekas Ketua Umum PKR itu mendakwa sabitan ke atas plaintif di Mahkamah Rayuan diperoleh melalui penipuan yang dilakukan ke atas Mahkamah Tinggi oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dakwanya lagi, penipuan itu kemudiannya diteruskan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang mengakibatkan beliau disabitkan tuduhan.

Plaintif mendakwa Mohd Saiful adalah saksi utama pendakwaan, yang mana defendan tahu dia bukan saksi yang boleh dipercayai.

Selain itu, plaintif turut mendakwa, defendan mereka palsu keterangan dalam bentuk sampel DNA yang digunakan untuk menyokong keterangan sumpah bohong Mohd Saiful.

Sehubungan itu, plaintif menuntut keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015 diketepikan, atas sebab penipuan dan menuntut supaya dilepas dan dibebaskan dari penjara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");