Isu Panas

Kerajaan DAP Pulau Pinang Perlu Perjelas Bantuan Banjir

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa menjelaskan syarat ditetapkan bagi pengagihan sumbangan RM700 kepada mangsa banjir besar di Pulau Pinang pada Oktober lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad, berkata ia susulan terdapat dakwaan wujud unsur manipulasi dalam pengagihan bantuan terbabit.

Katanya, pengagihannya juga dikatakan dibuat secara tidak sistematik, selain bantuan itu dikatakan diberi secara tidak adil dengan ada sesetengah pihak didakwa menyalahgunakan kuasa ketika keseluruhan proses itu dijalankan.

“Rakyat di Balik Pulau minta penjelasan, bagaimana individu tidak terjejas dengan banjir juga boleh menerima bantuan ini? Bahkan terdapat situasi di mana terdapat lebih daripada seorang penerima dalam satu rumah.

“Malah, ramai yang turut bertanyakan kriteria yang melayakkan seseorang itu menerima wang bantuan banjir apabila syarat ditetapkan kerajaan negeri dikatakan tidak jelas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa lapor Berita Harian.

Oktober lalu, Pulau Pinang dilanda banjir setinggi antara 3 hingga 3.6 meter yang melumpuhkan hampir keseluruhan kawasan di negeri ini yang berpunca daripada hujan lebat mencecah taburan 377 milimeter dan angin kencang akibat tempias taufan Demrey.

Bencana itu menjejaskan hampir 4,000 penduduk selain meragut nyawa tujuh mangsa.

Muhamad Farid turut mempersoalkan sama ada pengagihan bantuan itu hanya menitikberatkan mangsa yang tergolong dalam kalangan penyokong kerajaan negeri sahaja.

“Menggunakan wang bantuan banjir untuk menjaga kroni dan mendapatkan sokongan politik adalah sesuatu yang amat bercanggah dengan prinsip ‘Cekap, Telus dan Amanah’ (CAT), sekali gus menjelaskan mereka tidak amanah dalam tugasan.

“Seiring dengan amalan pentadbiran yang telus di bawah slogan CAT, saya berharap mendapat penjelasan mengenai perkara ini daripada pentadbiran kerajaan negeri, terutamanya bagi penerima di Parlimen Balik Pulau,” katanya.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataannya mengakui terdapat beberapa ketidakpatuhan yang berlaku ketika pengagihan sumbangan itu dibuat.

“Siasatan dalaman sudah pun dimulakan bagi menyemak punca kejadian terbabit. Ia termasuk semakan untuk mengenal pasti punca kejadian ketidakpatuhan kelulusan berkenaan, pihak yang terbabit, jumlah yang di salah bayar dan lain-lain.

“Malah, perkara ketidakpatuhan ini juga sudah dirujuk dan dibincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 Februari lalu dengan tindakan susulan akan diambil suruhanjaya berkenaan.

“Pentadbiran negeri akan mengeluarkan laporan kejadian berkenaan selepas ianya selesai disiasat dan butir ketidakpatuhan pembayaran berkenaan dikenal pasti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");