Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Sambut Baik Pengiktirafan The New York Times Terhadap Ipoh

TANJUNG MALIM: Kerajaan Negeri menyambut baik dan berasa terharu dengan pengiktirafan media antarabangsa, The New York Times yang menerbitkan sebuah artikel berkenaan tempat-tempat menarik dan sebab mengapa Bandaraya Ipoh patut berada dalam ‘radar pelancongan’.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai rakyat negeri ini, khususnya yang tinggal di Ipoh harus bersama-sama memastikan bandaraya tersebut sentiasa bersih dan cantik serta memelihara identiti-identiti yang disebutkan penulis dalam artiket pelancongan tersebut.

Ujarnya, pengiktirafan sebegini juga dapat dijadikan sebagai suatu kebanggaan warga Perak.

“Seringkali saya sebutkan supaya jaga negeri kita, perlihara negeri kita, bandaraya Ipoh kita. Aspek kebersihan hendaklah menjadi keutamaan kita bersama.

“Mungkin pada pandangan seharian kita lain kerana kita melihat (bandaraya Ipoh ini) hari-hari, namun bagi pandangan masyarakat antarabangsa, mereka melihat keadaan bandaraya Ipoh ini mempunyai tarikannya tersendiri,” katanya.

Tambahnya lagi pihak berkuasa tempatan di daerah lain juga mungkin boleh menjadikan ini sebagai contoh dalam turut berusaha mengetengahkan produk pelancongan masing-masing.

“Saya yakin, kawasan daerah lain juga mempunyai tarikan yang belum diterokai sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan hak milik tersebut di Dewan Semai Bakti Felda Gunung Besout 2, dekat sini, pada Isnin.

Pada minggu lalu, The New York Times telah menerbitkan sebuah artikel pelancongan yang bertajuk ‘Why Ipoh, Malaysia, Should Be on Your Travel Radar’.

Antara produk pelancongan yang disebut ialah Taman Tema Lost World Of Tambun, Thumbs Cafe, Burps & Giggles, Chokodok Reggae House Cafe & Backpackers, Hotel M Boutique serta Plan B.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");