Isu Panas

Kerajaan Negeri Selangor Gagal Halang SPR

Putrajaya: Mahkamah Rayuan semalam, menolak permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menyerahkan Laporan Inkuiri Tempatan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu kepada Perdana Menteri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Tan Sri Idrus Harun bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Yaacob Md Sam, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Dewan Rakyat adalah pihak berkuasa tertinggi membuat keputusan berhubung proses persempadanan semula.

Idrus dalam penghakimannya berkata, jika kerajaan negeri dibenarkan mendapatkan perintah menghalang SPR menyerahkan laporan, ia akan mengganggu keseluruhan proses persempadanan semula menerusi Perlembagaan Persekutuan.

“Dewan Rakyat diberi kepercayaan untuk menerima dan membuat keputusan terhadap laporan ini,” katanya.

Dalam permohonannya, kerajaan negeri Selangor memohon perintah mahkamah untuk mengekalkan status quo dan menghalang SPR menyerahkan laporan Inkuiri Tempatan cadangan persempadanan semula kepada Perdana Menteri mengikut Seksyen 8 Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri memohon proses itu digantung sementara sehingga rayuan semakan kehakimannya bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu, didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan yang dijadualkan 23 Mac ini.

Dalam prosiding hari ini, SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh, manakala Datuk Gurdial Singh Nijar bertindak bagi pihak kerajaan negeri.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan SPR mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan permohonan kerajaan negeri Selangor menggantung sementara inkuiri tempatan di negeri itu.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan negeri untuk menggantung proses inkuiri tempatan pada 7 Disember tahun lalu selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor bagi mencabar proses cadangan persempadanan semula.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas mendapati ia terikat kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembagaan untuk mencabar kemunasabahan cadangan persempadanan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");