TAMPIN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan bankrap.
Beliau berkata, tuduhan kononnya segala dilakukan kerajaan BN untuk menyusahkan rakyat, hutang negara terlalu tinggi dan GST untuk bayar hutang 1MDB adalah tidak berasas.
“Kalau kerajaan bankrap macam mana saya boleh luluskan peruntukan. Ertinya kerajaan tidak bankrap, kerajaan ada duit, kerajaan mahu menolong rakyat. Ini bukan dedak…ini bukan gula-gula.” katanya sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tampin di Dataran Kampung Tengah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Parlimen Tampin; Datuk Seri Shaziman Abu Mansor; Adun Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan Adun Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada polis dan penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CFO) dan kunci rumah Bandar Tampin Utama Fasa 1B kepada penduduk.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan yang diberikan adalah berdasarkan rasa tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu kerajaan negeri bukan hanya berdasarkan peruntukan per kapita tetapi peruntukan-peruntukan munasabah yang diminta bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.
Menurutnya, selagi BN diberikan mandat, pembangunan akan lebih maju di sesebuah tempat.
“Kita akui kita tak sempurna tetapi kita perbaiki kelemahan itu… jangan jadi pembangkang yang merosakkan… sebab kalau kita benci seseorang, sesuatu parti, benci kerajaan yang ada.. tanya dengan hati kita benci sebab apa?
“Benci sebab dengar fitnah daripada orang atau benci sebab kelemahan. Kita tutup buku lama lah, benci pada orang, benci pada wakil rakyat… Selagi BN diberikan mandat semula… kita rampas kerusi Dun Repah. Insya-Allah Tampin akan lebih dimajukan,” katanya.
Dalam majlis itu juga Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan dua peruntukan segera untuk penduduk di Tampin iaitu menaik taraf Kompleks Sukan Gemencheh bernilai RM5 juta dan jambatan moden yang menghubungkan antara Kampung Kurnia Diraja ke Kampung Pasir Besar di Gemas bernilai RM3.5 juta.
Menurutnya, peruntukkan yang diumumkannya itu adalah satu manifestasi dan terjemahan kepada rakyat di kawasan Dun berkenaan.-Sinar