Isu Panas

Kes Saman Nurul Izzah Terhadap Ismail Sabri Mungkin Selesai Secara Baik

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan beliau penderhaka, mungkin diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam R. Sivarasa, yang mewakili Nurul Izzah kepada pemberita selepas bertemu Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin di dalam kamarnya hari ini yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub dan Zureen Elina Mohd Dom bertindak bagi pihak Ismail Sabri dan seorang lagi defendan iaitu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Memetik laporan Bernama, Sivarasa berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak, namun ditangguhkan selepas pihaknya dimaklumkan bahawa defendan kedua (Ismail Sabri) cuba menyelesaikan kes berkenaan dengan anak guamnya.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 19 Mac untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung penyelesaian kes berkenaan dan tarikh sama ditetapkan bagi mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak.

Normastura pula berkata perbincangan mengenai penyelesaian kes itu hanya membabitkan menteri berkenaan manakala kes terhadap defendan pertama (Khalid) masih diteruskan.

Perbicaraan kes saman itu selesai selepas Ismail Sabri selaku defendan kedua memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 11 Ogos tahun lepas.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai memfailkan saman itu pada 26 Nov 2015 dengan mendakwa Khalid telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pada 22 Nov 2015.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya pada hari sama (22 Nov 2015) dalam satu majlis di Bera, Pahang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram, yang didakwa mengarahkan serangan dan pencerobohan Sabah pada 2013.

Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau ialah seorang pengkhianat kepada negara dan dalang insiden pencerobohan Sabah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");