Sukan Hari Ini

Klopp Akui Sukar Kekalkan Pemain Bersama Liverpool

JURGEN KLOPP menyedari Liverpool tidak boleh bergantung kepada wang untuk memastikan pemain-pemainnya kekal gembira di Anfield.

Liverpool ketinggalan 18 mata kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dengan skuad kendalian Klopp itu tetap mengharungi musim yang penuh bergaya, menghuni tangga ketiga liga dengan berbaki 10 perlawanan.

Jentera serangan mereka ternyata sangat efektif, dengan Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan di pentas domestik mahupun Eropah.

Firmino dan Salah merupakan antara yang lebih menyerlah, dengan pemain kebangsaan Mesir itu menjaringkan 23 gol serta melakukan lapan bantuan jaringan manakala pemain kebangsaan Brazil itu mencetak 13 gol dan enam bantuan jaringan setakat ini.

Kehadiran Virgil van Dijk pada Januari lalu membantu barisan pertahanan The Reds, yang bermakna mereka sudah memiliki asas yang kukuh bagi membentuk skuad yang ampuh bagi saingan musim depan.

Tetapi, menurut laporan Stadium Astro, Klopp menerima peredaran masa dan melayan pemain-pemain dengan baik adalah sesuatu yang penting bagi memastikan mereka kekal bersama pasukan.

“Kami telah cuba mengekalkan pasukan dan memperkukuhnya,” kata Klopp. “Semestinya kami mahu memastikan mereka kekal bersama Liverpool.

“Terdapat banyak kelab yang besar di Eropah, jika mereka mahu membayar gaji yang lebih lumayan — pemain sudah tentu akan berfikir mengenainya.

“Kami tidak boleh meyakinkan mereka dengan wang. Ia mengenai bola sepak dan cara kami melayan mereka.

“Manchester City berhak mendahului EPL. Mereka berada pada tahap terbaik,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");