Berita Hari Ini

KPT Salurkan RM300 Juta Untuk KADS1M

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi menyalurkan RM300 juta untuk pembayaran kepada 1.2 juta penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang layak menerima bantuan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembayaran itu akan disalurkan melalui Bank Rakyat bermula 15 Mac ini, berdasarkan padanan data penuntut yang mempunyai akaun Bank Rakyat, dengan data maklumat penuntut layak menerima bantuan itu daripada kementeriannya.

“Ia akan dikreditkan kepada KADS1M mulai 15 Mac ini dan penuntut boleh menyemak nama di Bank Rakyat.

“Peruntukan ini adalah selaras dengan Bajet 2018 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober lalu, bagi membantu mengurangkan kos sara hidup dihadapi penuntut institusi pengajian tinggi,” katanya menerusi laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program #KIT Keeping In Touch Menteri Pendidikan Tinggi bersama pemimpin mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, pada Rabu.

Idris berkata, penuntut yang telah menerima kad itu pada tahun lalu, tidak perlu membuat permohonan baharu kerana bantuan tersebut akan dikreditkan secara automatik ke akaun sedia ada mereka.

“Penuntut juga boleh mengambil kad ini di mana-mana cawangan Bank Rakyat, tidak seperti tahun lalu apabila mereka hanya boleh mengambilnya di cawangan Bank Rakyat terpilih sahaja,” katanya.

Kad debit penuntut itu, berjumlah RM250 boleh digunakan untuk membeli bahan ilmiah di kedai buku terpilih, membeli perisian komputer dan peralatan pembelajaran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");