Membawang Hari Ini

Kutipan Filem Bidong Tak Sampai RM10,000

KUALA LUMPUR: “Saya tahu risiko penghasilan filem Bidong dan sejak awal lagi sudah mampu menjangkakan, ia takkan dapat sambutan.”

Demikian kata sutradara, Yusof Kelana, ketika mengulas mengenai kegagalan naskhah arahannya, Bidong: The Boat People, untuk menarik perhatian orang ramai menontonnya di panggung.

Mencatat kutipan kurang daripada RM10,000, Yusof berkata, ada pawagam besar menarik balik tayangan filem itu selepas tiga hari diputarkan berikutan ketiadaan sambutan penonton.

Bidong mula menemui penonton di pawagam pada 1 Mac lalu.

“Sejak awal, saya sudah menjangkakan risiko bakal dihadapi ketika menghasilkan filem ini. Tetapi, saya anggap penghasilannya sebagai sumbangan kepada industri.

“Saya juga tidak menyalahkan penonton kerana saya tahu selera mereka adalah filem komersial, bukannya naskhah bercorak sejarah seperti ini.

“Daripada peringkat awal lagi, saya tidak menaruh apa-apa harapan kerana banyak lagi filem yang pada dasarnya boleh mencecah kutipan lebih RM1 juta, namun akhirnya sekadar mampu mengaut sekitar RM100,000,” katanya lapor BH Online.

Sejak Januari, kata Yusof, kutipan filem tempatan memang agak teruk.

“Jadi, saya tak berkecil hati dengan apa yang saya peroleh kerana saya sendiri sudah melalui zaman kutipan pecah panggung, ketika menghasilkan filem Tragedi Oktober (1996).

“Filem ini juga tiada nilai komersial. Selera penonton pula memang ada alirannya sendiri. Pada masa sama, belum pun filem ini habis ditayangkan, sudah ada judul ‘blockbuster’ yang menunggu, seperti KL Special Force.

“Bagaimanapun, saya tak kecewa dan akan terus berkarya. Cuma, buat waktu ini saya belum dapat mengumumkan projek terbaru,” katanya.

Tidak berputus asa dengan sambutan diterima di tempat sendiri, Yusof kini mengadakan perbincangan dengan pengedar dari China untuk memasarkan filem terbabit di negara itu.

Filem yang dibintangi oleh Taufiq Hanafi, Irene Wong, Livonia Ricky, Abby Nour, Z Zamri, Vanessa Lim, Dickson Chin dan Man Raja Lawak itu mengisahkan mengenai sepasang suami isteri dari Vietnam yang melarikan diri ke Pulau Bidong dan membuka perkampungan di situ.

“Pengedar di China sudah menonton sedutan Bidong dan mereka tertarik dengan filem ini. Malah, saya juga mempunyai perancangan untuk memasarkannya ke Thailand dan beberapa negara jiran lain. Mungkin filem ini akan mendapat tempat di luar negara kerana penceritaannya adalah mengenai sejarah Pulau Bidong itu sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");