Jenayah

Lagi Kes Penuntut UPNM Didera 8 Senior?

Selepas kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 1 Jun lalu akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya, kita mengharapkan kes sedemikian tidak lagi berulang, dan ia sepatutnya menjadi titik tolak untuk universiti berkenaan mengambil serius mengenai kes buli atau ragging.

Malangnya kejadian buli dalam kalangan penuntut institusi ketenteraan itu masih lagi berlaku apabila terbaharu dua penuntut UPNM didakwa menjadi mangsa dera pelajar-pelajar senior, mengakibatkan kedua-dua mangsa masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan menerima cuti sakit selama empat hari.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysian Digest, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian bahu, Amirul Nashriq Othman, 19, dilaporkan meninggal dunia akibat ‘mati lemas’ ketika mandi di Air Terjun Chamang, Bentong pada Sabtu lalu (24 Mac).

Dalam kejadian tersebut, mangsa bersama tujuh orang lagi rakannya telah menyewa kereta dan pergi ke kawasan perkelahan itu untuk mandi-manda.

Difahamkan, mangsa bersama lima yang lain pada mulanya mandi di kawasan air cetek, sementara dua lagi rakannya hanya memerhati sahaja. Namun, tiba-tiba mereka tergelincir ke kawasan air yang dalam.

Menurut sumber, dua rakan mangsa yang berada di kawasan darat segera terjun menyelamatkan mereka, dan berjaya menyelamatkan lima rakan mereka. Sedihnya, kecederaan di bahu yang dialami Amirul akibat didera menyebabkan dia tidak berupaya untuk berenang lalu tenggelam dan mati lemas.

Rakan-rakannya cuba menyelamatkan Amirul dengan memberikan bantuan pernafasan, namun mangsa tidak sedarkan diri. Ekoran keadaan tempat kejadian agak terpencil, mereka berdepan dengan kesulitan untuk menghubungi pihak berwajib bagi mendapatkan bantuan.

Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan tersebut, sebelum rakan-rakannya yang lain berjaya menghubungi ambulans dan pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Insiden tersebut kemudian dimuat naik di laman Facebook Malaysia Menjerit, dan memaklumkan berdasarkan status yang dikongsi rakan-rakan Amirul di laman sosial, timbul kecurigaan disebalik kematian mangsa.

Malah, timbul juga persoalan bahawa pihak UPNM cuba ‘menyembunyikan’ insiden penderaan yang berlaku ke atas mangsa.

Faceboo: Malaysia Menjerit

Kawan Dakwa ‘Tahu Punca Sebenar’ Kematian Amirul

Berdasarkan semakan di laman sosial, rata-rata rakan mangsa menzahirkan ucapan takziah di atas kematian Amirul, selain ada yang mendakwa mengetahui punca sebenar kematian penuntut berasal dari Gopeng, Perak itu.

Menurut seorang pengguna Twitter, kematian Amirul bukan berpunca akibat mati lemas, sebaliknya dipercayai ada kaitan dengan kejadian buli dan mereka kini dalam proses untuk menuntut keadilan.

“Saya kenal dia. Untuk pengetahuan awak, dia meninggal dunia bukan kerana mati lemas. Saya tahu cerita sebenar,” demikian komen pengguna Twitter itu, yang turut diakui oleh rakan Amirul dikenali sebagai Kherul Killmonger.

Rata-rata rakan mangsa menyifatkan Amirul sebagai seorang yang baik, dan mereka begitu sedih dengan pemergian Allahyarham.

Malah, dakwaan bahawa mangsa meninggal dunia akibat dibuli semakin kuat apabila seorang lagi pengguna Facebook bernama Zalira Akmal Ariffin mendakwa hasil bedah siasat ke atas mayat Amirul menunjukkan mangsa tidak mati lemas.

Zalira mendakwa, ada ‘pihak’ yang cuba menutup kejadian yang menimpa mangsa.

“Alhamdulillah bedah siasat menunjukkan dia tidak lemas. Sesiapa sahaja boleh beritahu itu jelas insiden yang cuba dilindungi, dan saksi lain yang juga ada bersama dengan arwah pada malam itu (dipercayai semasa didera) tetapi dirawat dan terselamat dalam pengalaman memeritkan itu, (dan) kini membuat laporan polis. (Semoga dia selamat dan dilindungi),” tulisnya, semalam (27 Mac).

“Saya menggesa semua mendoakan agar ibu bapa (mangsa), Puan Zai dan Encik Othman, diberi kekuatan dan keberanian untuk melalui masa-masa sukar ini, dan individu yang mendera (mangsa) akan dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya,” tambahnya yang berharap tingkah laku menjijikkan itu dapat dihentikan di UPNM.

Amirul Harapan Keluarga – Kakak

Malaysian Digest cuba menghubungi kakak mangsa, Norzulaikha Othman bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kematian mangsa. Namun, masih tidak menerima sebarang maklum balas.

Semakan di laman Instagram, Norzulaikha memaklumkan Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 1 tengah hari, pada 25 Mac lalu.

“Alhamdulillah Yoi (nama panggilan Amirul), ramai kwan solatkan kau Yoi, hantar kau Yoi, berebut diorang nak bawakan jenazah kau, masuk ke liang lahad, kabus kubur kau, iringi kau Yoi.

“Mesti kau bahagia kan Yoi tengok ramai hantar kau. Yayoi, kau tenanglah kat sana ya, tunggu kami di syurga ya Yoi, tengok along ambil Ijazah dari sana ya,” demikian tulisnya.

Dalam coretan berasingan yang penuh kesayuan, Norzulaikha yang merupakan anak sulong menggambarkan bagaimana ibu bapanya menaruh harapan yang begitu tinggi kepada Allahyarham Amirul.

“Malam semalam kami anak beranak tidur sebilik dengan mak dan ayah, sebelum tidur kami peluk dan cium mereka bagi semangat kepada mereka… hancur luluh hati mereka Yoi, kau anak harapan mereka.

“Setiap kali kami cakap fasal kau, air mata ini terus mengalir. Kami semua tidur tak lena, asyik terjaga. Pukul 5 pagi hujan lebat, kami semua terjaga, kami cakap, ‘Alhamudlillah sejuk Yoyoi hari ni…,” katanya semalam, sambil memuat naik gambar Amirul memakai baju seragam tentera.

Amirul Nashriq (kanan)/Foto: Twitter 

Sumber dalaman UPNM mendedahkan kepada Malaysian Digest bahawa kejadian buli terhadap Allahyarham Amirul dan seorang lagi mangsa yang identitinya dilindungi berlaku pada 20 Mac lalu.

Dalam kejadian pada malam Selasa itu, kedua-dua mangsa diminta oleh lapan penuntut senior UPNM, yang didakwa bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) untuk datang ke bilik mereka, dipercayai bertujuan untuk dibuli.

Sumber menjelaskan, mangsa pertama yang kini sedang berehat cuti sakit dipaksa masuk ke bilik suspek terlebih dahulu, sementara Allahyarham Amirul dibiarkan menunggu di luar bilik.

Kelapan-lapan suspek kemudian bertindak ‘membuat soal jawab’ bersama mangsa pertama sebelum berlaku tindakan agresif dan kesemua suspek mula memukul remaja terbabit.

Selepas selesai ‘mengerjakan’ mangsa pertama, suspek memanggil masuk pula Allahyarham Amirul dan mereka melakukan perkara sama terhadap mangsa, sebelum kedua-dua mangsa dibenarkan balik ke bilik masing-masing.

Sumber menambah lagi, kebetulan pada 24 Mac, Allahyarham Amirul bersama tujuh rakannya pergi ke lokasi air terjun di Bentong, namun mangsa pertama tidak menyertai mereka dan hanya berada di bilik tidur.

Kematian Amirul yang didakwa ‘mati lemas’ bagaimanapun mencetuskan tanda-tanya, sehingga membuka kepada siasatan yang lebih terperinci.

Sumber berkata, pihak polis telah memanggil mangsa pertama bagi membantu siasatan dan kes kini sedang disiasat secara terperinci bagi mengetahui punca sebenar kematian Amirul, dan dakwaan mangsa didera.

Sementara itu, bekas-bekas pelajar RMC mengecam keras tindakan kelapan-lapan suspek, dan menggesa siasatan dilakukan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi mengelakkan kes sedemikian berlaku lagi.

Naib Presiden Kanan AmBank Islamic, Old Putera (OP) Reizal Amiruddin berkata: “Pada pandangan saya, sebagai OP mereka patut lebih arif, dan tunjukkan contoh, seiring moto ‘Berkhidmat Memimpin’. Namun, tingkah laku mereka adalah sebaliknya dan ini mengundang aib bukan sahaja ke atas diri mereka sendiri bahkan institusi yang pernah mereka menimba ilmu.”

Sementara OP Johari Yap pula menyifatkan perbuatan kelapan-lapan suspek terbabit adalah sebagai memalukan.

“Sebagai seorang bekas Putera dari kolej tentera yang berprestij, tindakan mendera ini merupakan satu perbuatan yang memalukan, lebih-lebih lagi yang didera ini adalah bekas putera juga. Mereka sepatutnya menjaga dan melindungi junior, bukannya membelasah mereka.

“Perbuatan sebegini menyebabkan mereka yang baharu menghabiskan pengajian di RMC malu atau segan untuk menonjolkan diri sebagai bekas Putera. Jika suatu masa dahulu, semua lepasan RMC begitu bangga memperkenalkan diri sebagai bekas Putera, tidak hairan jika kini tiada siapa yang ingin memperkenalkan diri sebagai OP. Silap haribulan, kena belasah lagi,” tegas calon Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam jurusan School of Dental Sciences, Univesiti Sains Malaysia (USM) itu.

Susulan pendedahan ini yang dibuat oleh sumber kami, kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dengan teliti kes tersebut bagi merungkai misteri disebalik kematian tragis Amirul sehingga keadilan dapat ditegakkan.

Sekiranya UPNM berpegang teguh kepada motto mereka ‘Kewajipan, Kehormatan, Integriti’, kami menyeru agar institusi berkenaan berhenti menutup sebarang kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar mereka, kerana penderaan boleh membawa kematian.

Memandangkan institusi berkenaan harus berkhidmat kepada negara dengan meletakkan asas dan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia, sudah tiba masanya untuk UPNM menghentikan budayaragging daripada terus berleluasa sebelum ia menjejaskan imej mereka.

Berapa lagi kematian yang kita mahukan selepas Zulfarhan dan Amirul? Sudah sudah lah!

– mD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");