Sukan Hari Ini

Lambakan Ejen Haram Cetus Masalah

KUALA LUMPUR: Lambakan ejen haram yang kini menguasai pasaran pemain bola sepak tempatan mencetuskan kebimbangan mengenai nasib pemain dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ejen haram tidak bertauliah ini yang tidak berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh ‘lesap’ pada bila-bila masa andai permasalahan berlaku khususnya membabitkan kontrak pemain dengan pasukan.

Ada yang meninggalkan pemain terkontang-kanting apabila pemain berdepan sebarang masalah mengenai tuntutan gaji atau pampasan bersama pasukan masing-masing.

Terdapat juga kes di mana pasukan enggan membayar tuntutan pemain kerana masalah kontrak tidak seperti yang dijanjikan oleh ejen.

Ini semua mengundang kepada permasalahan yang kebanyakannya terpaksa dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus mencalar imej Liga-M.

Menurut Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim, kesemua ejen atau orang perantara untuk mewakili mana-mana pemain di negara ini perlu mendapatkan lesen dengan FAM sejak 2017 selari dengan peraturan baharu FIFA.

“Sama ada ejen dari luar negara atau ejen tempatan, mereka perlu mendapatkan lesen dengan persatuan bola sepak kebangsaan untuk menjadi ejen pemain di negara berkenaan. Sebagai contoh, kalau ejen itu dari Brazil dan ingin membawa pemain import ke Malaysia, maka ejen berkenaan perlu mendapatkan lesen dengan FAM.

“Jika mereka mahu membawa pemain ke Jepun atau Korea Selatan misalnya, mereka juga perlu mendaftar dengan FA (persatuan bolasepak) negara berkenaan. Ini kerana FIFA sudah memansuhkan lesen ejen FIFA dan menetapkan agar semua ejen berdaftar dengan FA di negara berkenaan.

“Dan untuk mendaftar dengan FAM, ejen tempatan dikenakan bayaran lebih RM10,000 setahun manakala ejen luar hampir RM50,000. Mungkin yuran ini menyebabkan ada ejen liat untuk mendaftar.

“Mungkin persatuan atau kelab terlepas pandang, tak kisah untuk menggunakan khidmat ejen tak berdaftar ini kerana tidak apa implikasi yang akan berlaku,” katanya menerusi laporan BH Online hari ini.

Difahamkan tidak sampai lima ejen yang berdaftar dengan FAM setakat ini, satu jumlah yang sangat kecil berbanding jumlah pemain import bagi pasukan Liga Super dan Liga Perdana kira-kira 108 manakala pemain tempatan seramai 612.

Menurut Hafizan, ada pemain sekadar ‘tangkap muat’ dengan melantik mana-mana orang tengah untuk menjadi saksi ketika menandatangani kontrak.

“Ada pemain yang melantik di kalangan ahli keluarga mereka, ada yang lantik kerani atau budak ‘despatch’ (penghantar surat) untuk jadi saksi pun ada. Itu sebab mereka tidak tahu apa kandungan kontrak yang mereka tandatangani.

“Jika berlakunya masalah gaji pemain tak dibayar, siapa yang akan menguruskan hal ini. Jika pemain pula yang lari, dengan siapa pasukan ingin berhubung. Jika ejen itu berdaftar, kontrak dan urusan perpindahan pemain akan dihantar kepada FAM,” ujranya.

Hafizan berharap, FAM dapat menekankan isu pendaftaran ejen ini kerana adalah tidak adil buat mereka yang mengeluarkan duit untuk mendapatkan lesen manakala ejen lain ‘lepas tangan’.

“Kami membayar yuran untuk mendapatkan lesen tapi ada ramai lagi ejen yang buat tak tahu, jadi tak adil buat kami. Mungkin ada jalan terbaik untuk FAM mengetatkan peraturan selepas ini,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");