IPOH: Sekitar 50 orang penjaja makanan dan peniaga barangan kering di Pasar Bercham dekat sini mengalami kesulitan untuk meneruskan kerja-kerja harian akibat daripada lif yang rosak.
Lif yang sepatutnya berfungsi untuk mengangkut barang ke tingkat atas pasar dilaporkan tidak berfungsi semenjak 15 Mac lalu.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Aldrich Low Guo Nan berkata sejak pasar tersebut dibuka 14 tahun lalu, ini merupakan kali pertama masalah sedemikan timbul dan berharap ianya merupakan kali yang terakhir.
“Ini melibatkan kos sebanyak RM15,000, untuk tukar motor lif yang baharu.
“Disebabkan kos yang tinggi ia memakan sedikit masa untuk diluluskan permohonan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kami berharap pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara lif ini dapat bertindak dengan cepat supaya ia tidak memudaratkan peniaga-peniaga di sini yang kebanyakkanya terdiri daripada golongan warga emas,” katanya.
Tambahnya, pihak kontraktor telah pun memulakan kerja-kerja pembaikkan terhadap lif berkenaan pada Isnin dan ianya bakal siap hari ini.
Aldrich berkata demikian ketika ditemui di Pasar Bercham dekat sini, pada Rabu.
Difahamkan akibat daripada permasalahan ini, terdapat sebahagian peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa semenjak 2 minggu lalu.
Rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kekesalan mereka dan berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.