Jenayah

Macau Scam Terus Berlaku Di Sibu

SIBU: Kes penipuan ‘Macau Scam’ terus berlaku di Sibu, dengan terbaharu melibatkan seorang lelaki warga emas yang kerugian RM30,000 pada awal bulan ini.

Mangsa berusia 66 tahun mengadu menerima pesanan talian khidmat pesanan ringkas (SMS) berkenaan caj kad kredit sebuah bank dan diminta menghubungi talian hot line bank itu dengan kadar segera.

Cemas, warga emas itu kemudian terus menghubungi talian itu di mana beliau menafikan pernah memiliki kad kredit itu, namun dimaklumkan bahawa nama serta nombor kad pengenalan beliau telah disalahgunakan pihak ketiga untuk mendaftar kad kredit tersebut.

Beliau kemudiannya menerima panggilan telefon yang menggunakan nombor talian tetap yang mendakwa kononnya dari Bank Negara.

Pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Bank Negara meminta pengadu pergi ke sebuah mesin ATM sebuah bank di bandar ini untuk tujuan menukar kod bar di bahagian belakang kad ATM mangsa sekiranya tidak mahu maklumat peribadi terus disalahgunakan.

“Pada hari yang sama pengadu membuat semakan baki wang dalam akaunnya dan mendapati RM30,000 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan kejadian itu lapor Bernama.

Sementara itu dalam kes berasingan seorang kerani wanita berusia 26 tahun kerugian RM5,000 selepas diperdayakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Lelaki itu memberikan janji manis untuk memberi mangsa barangan berupa beg tangan, jam tangan, barangan kemas dan kasut berjenama.

Pada 2 Mac kira-kira 8.37 pagi mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita melalui nombor telefon bimbit bahawa barangan tersebut telah sampai dan meminta mangsa membayar RM5,000 bagi tujuan penjelasan cukai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");