Jenayah

Mahkamah Khas Seksual Kanak-kanak Segerakan Selesai Kes

KUALA LUMPUR: Sejumlah 382 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak didaftarkan sejak Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak beroperasi pada Jun 2017 hingga Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata, berdasarkan statistik, bilangan kes yang diselesaikan bagi tempoh itu adalah sebanyak 314 kes.

“Selanjutnya, jumlah kes tertunggak setakat Februari 2018 adalah sebanyak 68 kes.

“Jumlah ini menunjukkan bahawa kes itu telah diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu kurang dari setahun,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat hari ini.

Mahkamah khas itu yang mula beroperasi pada 22 Jun tahun lalu di Putrajaya adalah yang pertama di negara ini dan Asia Tenggara, bertujuan mendengar dan membicarakan kes kesalahan diperuntukkan dalam Akta 792 dan kesalahan jenayah seksual bawah undang-undang lain membabitkan mangsa kanak-kanak.

Azalina berkata, Perdana Menteri menyatakan dengan adanya mahkamah ini, pihak mahkamah, pendakwaan dan peguam dapat bekerjasama untuk memastikan kes kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dijalankan tanpa penangguhan.

“Hasrat Perdana Menteri ini adalah juga selari dengan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2017 yang menetapkan kes jenayah di mahkamah rendah diselesaikan atau dilupuskan dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

Kepada soalan tambahan Hasan mengenai langkah diambil bagi memastikan bukan saja kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dilupuskan cepat malah proses pengendalian kes dan keputusan adil, Azalina berkata, mesyuarat Kabinet telah memberikan arahan bahawa mahkamah sedemikian diwujudkan di peringkat negeri mengikut fasa ditetapkan.

Katanya, selain daripada pengujudan mahkamah khas, kerajaan juga meminta pihak pentadbiran mahkamah dan pejabat Peguam Negara melihat beberapa pendekatan baharu seperti kewujudan hakim iaitu dalam kategori Jusa C supaya hakim ini mempunyai pengalaman dan kemahiran apabila menjadi hakim dalam kes sedemikian.

Beliau berkata, kemudian pendakwa di peringkat negeri diwujudkan pendakwa khas yang mereka juga dinaikkan gred Jusa C supaya pengkhususan dapat diwujudkan.

“Seterusnya kursus atau latihan di dalam dan luar negara bagi hakim Mahkamah Sesyen dan Timbalan Pendakwa Raya untuk mengendali kes jenayah dan kewujudan garis panduan khas untuk mengendalikan kes kesalahan,” katanya.

Garis panduan itu katanya, dianggap yang paling penting kerana ia adalah satu-satunya diwujudkan dalam sistem mahkamah di dalam negara.

“Ia dilancarkan pada 13 Disember 2017 yang akan menjadi rujukan dan panduan seragam semua pihak terlibat.

“Garis panduan ini bukan saja membantu kelancaran perjalanan sesutatu prosiding kes malah memastikan proses pengendalian kes bertepatan prinsip keadilan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");