Berita Hari Ini

Malaysia Sedia Bertindak Balas Terhadap EU

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia mengambil tindakan balas terhadap negara Kesatuan Eropah (EU) dengan mengehadkan pembelian barangan tertentu dari negara berkenaan, jika cadangan pindaan Parlimen Eropah untuk mengharamkan bio api berasaskan kelapa sawit tidak memihak kepada negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata tindakan tegas itu terpaksa diambil jika langkah proaktif untuk menghentikan diskriminasi terhadap minyak sawit gagal.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini tiada cadangan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Katanya, tindakan negara EU itu menjadi perangkap kemiskinan kepada 650,000 pekebun kecil dan tiga juta rakyat negara ini yang bergantung kepada industri sawit ngara.

“Tindakan ini tidak adil, seumpama `crop apartheid’, merupakan diskriminasi perdagangan dan pelanggaran komitmen di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

“Namun Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik bagimenyelesaikan isu ini,” katanya ketika nmenjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mengenai langkah strategik bagi menangani larangan import minyak sawit ke pasaran EU, dan rancangan luar jangka jika penyelesaian komprehensif tidak dapat dicapai.

Siew Keong berkata, industri sawit adalah penyumbang penting ekonomi negara dengan eksport minyak sawit dan produk sawit bernilai RM77.8 bilion pada 2017, iaitu lapan peratus daripada jumlah eskport negara.

Beliau berkata, eksport minyak sawit dan produk sawit ke Eropeh mencecah RM11 bilion.

“Sebarang langkah bagi mengehadkan minyak sawit oleh negara EU akan memberi kesan langsung kepada perdagangan sawit Malaysia ke negara berkenan.

“Secara purata EU mengimport antara tujuh hingga 7.4 juta tan sawit bagi tempoh tiga tahun lalu dan pada 2017, Malaysia menyumbang 29 peratus daripada import minyak sawit EU.

“Kesan daripada cadangan pindaan Parlimen Eropah adalah besar kerana dianggarkan 800,000 tan daripada import Malaysia digunakan sebagai bahan mentah untuk bahan api bagi 2017,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Siew Keong berkata, antara langkah proaktif diambil Malaysia ialah mengadakan rundingan dua hala dengan negara individu EU dan perkongsian data maklumat berhubung industri minyak sawit kepada pemegang taruh.

Beliau turut mengetuai delegasi ke Sepanyol, Belgium, Jerman, United Kingdom, Itali dan Poland, iaitu enam negara terbesar di Eropah bagi misi pertemuan dua hala dengan menteri dan wakil menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor tenaga, pertanian dan perdagangan.

Selain itu, katanya perbincangan diadakan dengan Pesuruhjaya EU dan pegawai Suruhanjaya Eropah dan pertemuan dengan Ahli Parlimen negara berkenaan.

“Saya maklumkan mengenai pendirian negara dan kesan cadangan ke atas 650,000 pekebun sawit dan tiga juta rakyat yang bergantung kepada industri sawit.

“Hasil pertemuan itu, kebanyakan mereka berpandangan cadangan Parlimen Eropah bersifat diskriminasi dan bertentangan peraturan WTO.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) juga menulis surat secara rasmi kepada Presiden Majlis Eropah untuk menjelaskan pendirian Malaysia dalam isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Siew Keong berkata serangan berterusan ke atas industri sawit oleh negara EU bukan disebabkan kegagalan mengurus isu berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, serangan itu berlaku kerana kejayaan minyak kelapa sawit dan produk sawit mendominasi pasaran dunia yang kini mencecah 60 peratus.

“Ini bermakna kelapa sawit naik begitu cepat oleh usaha kita, mereka takut jika tidak dihadkan dalam 10 tahun lagi, (minyak) kelapa sawit akan mendominasi pasaran sehingga 80 peratus.

“Sawit adalah mangsa kejayaan sendiri… kita akan mengatasi halangan ini walau ada cabaran besar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");