SUNGAI BESAR: Lelaki berusia 30 tahun maut selepas jentera penggelek jalan yang dipandunya terjunam dalam parit di Jalan Parit Empat, Sungai Haji Dorani, di sini, jam 1.30 tengah semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, Mohamad Ariff Omar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Parit Empat menuju ke Parit Tiga, Sungai Besar.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum jentera berat itu terjunam ke dalam parit di tepi jalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad lapor Berita Harian.
Nor Azmi berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.