Perak Hari Ini

MB Mahu Silat Dipertahan Dan Diperluas

TANJUNG MALIM: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menzahirkan hasrat agar ilmu dan sukan persilatan dapat diperkembangkan dengan lebih luas lagi.

Selain menggesa agar warisan seni bela diri ini dipertahankan, beliau turut meluahkan rasa bangganya terhadap penglibatan golongan muda dalam dunia persilatan.

“Walaupun keadaan dunia semakin canggih, (ditambah) dengan serangan sosial media tetapi, masih ada anak-anak muda yang begitu kental semangat jiwanya mempertahankan warisan ini.

“Ini adalah satu warisan besar dan ianya menentukan identiti kehidupan negara bangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Silat Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kali Ke-9, di Dewan Tuanku Canselor UPSI, dekat sini, pada Rabu.

Terdahulu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menerusi ucapanya berkata kejohanan itu juga merupakan salah satu inisiatif UPSI dalam merealisasikan aspirasi institusi pendidikan tersebut bagi tersenarai dalam ranking 100 ke atas antara universiti terbaik seluruh dunia menjelang tahun 2020.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omar serta Presiden Pesaka Negeri , Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Semalam, kejohanan tersebut telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record sebagai penganjuran kejohanan silat terbesar dan disertai peserta paling ramai yang pernah dianjurkan di negara ini.

Seramai 3,000 pesilat mewakili 137 pasukan dari dalam dan luar negara akan berentap selama lima hari bermula semalam, bagi merebut Piala Menteri Besar.

Daripada jumlah pasukan tersebut, sebanyak 46 pasukan terdiri daripada peserta bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, 44 bagi kategori remaja, termasuk dari negara Filipina dan Indonesia, serta 5 pasukan pula dari negeri dan 37 pasukan daripada sekolah seluruh daerah.

Dalam pada itu, seramai 47 pasukan turut berentap bagi kategori terbuka antarabangsa yang melibatkan peserta daripada negara Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam serta 10 pasukan tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");