Isu Panas

Parlimen: ‘Tunggu Tarikh PRU Pun Darah Naik’

KUALA LUMPUR: Perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, petang ini menarik perhatian ahli dewan sehingga ada penyokong kerajaan meminta Speaker Dewan Rakyat memberi masa tambahan.

Berbeza kandungan sebelumnya yang lebih menumpukan isu politik khususnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ekonomi seperti kos sara hidup, Nasrudin menggunakan 30 minit diperuntukkan untuk menyentuh isu kesihatan rakyat yang didakwa kian membimbangkan.

Beliau membangkitkan statistik membabitkan pelbagai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dalam darah dan kesihatan mental yang menggambarkan keseriusan tahap kesihatan rakyat.

“Seramai 3.5 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas mengidap diabetes, ini angka memeranjatkan dan 9.2 juta golongan ini tidak pernah menjalani pemeriksaan penyakit.

“Negara kita mengalami situasi yang mana ‘hypertension’ (tekanan darah tinggi) tinggi dalam kalangan masyarakat iaitu 6.1 juta orang.

“Saya tidak tahu apa gejala yang menyebabkan penyakit ini tetapi menunggu tarikh PRU pun boleh menyebabkan darah naik juga bagi sesetengah ahli politik,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Perbahasan Nasrudin menarik perhatian Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang juga doktor perubatan, sambil menyifatkan pengisiannya lain berbanding sebelumnya.

“Sudah tentu saya terpanggil untuk mencelah, lain daripada perbahasan yang saya dengar dua tiga hari ini,” katanya.

Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) memohon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, memberi masa tambahan untuk Nasrudin berbahas kerana menyifatkannya dimensi baharu kepada masyarakat.

“Saya faham isu kesihatan sering dibahaskan doktor, maka bila ustaz cuba bercakap isu ini nampak agak asing tetapi ia berdasarkan testimoni, apabila kita sakit tiba-tiba Allah memberikan kesedaran mengenai makna sihat.

“Saya percaya apabila sakit, kita berdepan dengan usaha memulihkan diri kita, akhirnya kita nampak perlunya bercakap mengenai kesihatan,” kata Nasrudin.

Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang memulakan perbahasan selepas itu, turut memuji tindakan Nasrudin membahaskan isu kesihatan.

“Terima kasih Temerloh, saya pun terharu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");