Isu Panas

Pas Ajak Rakyat Pilih Pendekatan Islam Sebenar

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara lebih adil melalui pendekatan Islam sebenar.

“Kepada seluruh rakyat, masyarakat majmuk khususnya penganut Islam perlu memahami, kalangan masyarakat bukan islam pula perlu menyedari hakikat.

“Apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam adalah agama Persekutan.

“Apa yang diperjuangkan Pas ialah untuk merealisasikan secara objektif daripada Islam itu dengan makna yang menyeluruh aspek politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain lain,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas dasar dan polisi serta isu semasa ke arah membina Malaysia Sejahtera disiarkan secara langsung di laman rasmi facebook pemimpin Pas itu, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, dalam aspek politik khusus bagi umat Islam, rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa hukum politik sebahagian dari syariat Islam telah diamalkan sepanjang zaman.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ia telah bermula sejak zaman Nabi Adam, nabi nabi selepasnya dan berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W.

“Perjuangannya membawa Islam bukan sekadar untuk menyelamatkan individu termasuklah menyelamatkan negara supaya pemimpin-pemimpin negara menyedari bahawa tanggungjawab mereka.

“Ia adalah tanggungjawab agama yang ada perhitungan dosa dan pahala mengikut-mengikut ruang yang luas yang diizin oleh ALLAH dalam perkara tidak mungkin diselesaikan oleh akal manusia.

“Sempadan halal dan haram mengatasi masalah-masalah kemungkaran, menegakkan kebajikan, perkara asas. Maka dinaskan dalam kitab ALLAH sejak dahulu sehingga nabi Muhammad S.A.W,”‘ katanya memetik sumber Sinar Harian.

Beliau berkata, adil adalah hukum yang wajib, bukan sahaja menjadi sifat yang wajib bagi ALLAH.

“ALLAH mewajibkan pemerintah melaksanakan keadilan terhadap rakyat seluruhnya sebagaimana ALLAH adil terhadap seluruh hambanya sama ada Islam dan bukan Islam.

“Mesti dikaitkan urusan mengurus negara dengan adil ini dengan adanya hisab di hadapan ALLAH, menghadapi perhitungan dosa dan pahala,” katanya.

Beliau berkata, Pas menerima konsep demokrasi, hak rakyat untuk bersuara, untuk mendengar, untuk mengkritik, untuk memilih pemimpin.

Bagaimanapun, katanya, dalam masa sama perlu disedari bahawa manusia adalah makhluk yang lemah.

“Dalam perkara tetapan ALLAH yang penuh adin dan rahman, manusia perlu menerima secara iman dan Islam tanpa ada rasa perhitungan lagi.

“Inilah aspek politik yang mahu kita perkenalkan tanpa mengikat rakyat secara zalim, dalam masa sama tanpa membebas lepas sehingga tersungkur dalam perkara yang tidak mampu difikirkan mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");