SERDANG: PAS kekal dengan pendirian untuk mengguna pakai pendekatan melawan dan tidak melawan dalam menghadapi senario terkini politik tanah air.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengakui pendekatan itu bukan satu perkara baru, namun ia juga akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, pendekatan melawan atau membangkang adalah dengan cara berbahas demi memastikan rakyat dan umat Islam di negara terbela, manakala pendekatan tidak melawan atau berdamai adalah satu kaedah yang akan digunakan PAS jika keadaan memerlukan.
Katanya, ketika negara berdepan konflik perkauman ekoran peristiwa 16 Mei 1969, PAS tidak menolak ajakan UMNO menyertai kerajaan dengan syarat tertentu demi kepentingan agama Islam.
“Mana yang kerajaan buat elok untuk rakyat seperti bantuan kebajikan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya, PAS akan sokong, sebaliknya mana yang tidak elok seperti ketirisan, kita akan bangkang.
“PAS kekal dengan pendirian ini bagi mengelakkan berlakunya pertembungan yang bukan saja merugikan umat Islam di Malaysia, malah membuka peluang kepada campur tangan asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, menerusi laporan BH Online.
Yang turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat , Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, proses pemilihan calon PAS bagi PRU-14 hampir 90 peratus selesai.
Namun, katanya, PAS tidak akan mengikut jejak langkah parti lain untuk mengumumkan calon awal kerana yakin dengan kesetiaan ahlinya.
“Kita tidak akan terikut dengan rentak parti lain. Hendak jadi calon PAS ini memang payah (susah) kerana tanggungjawab amat besar.
“Selain itu, dalam PAS, kami berbeza kerana parti yang akan mencari calon, ia perlu dipersetujui peringkat tertinggi dan akar umbi bukannya calon yang datang (tawarkan diri).
“Insya-Allah kita akan bertanding di lebih 130 kawasan dan lawan semua (parti) dengan cara yang matang tanpa perlu bergaduh, berpecah atau menimbulkan ketegangan,” katanya.
Mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang akan membatalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) jika pembangkang menang, Abdul Hadi dengan sinis menjawab, bekas perdana menteri itu bagaikan menjilat ludahnya sendiri.