Jenayah

PDRM Selamatkan Peminta Sedekah Paksaan

KUALA LUMPUR – Polis menyelamatkan 11 kanak-kanak dan remaja Rohingya yang dikerah menjadi peminta sedekah dalam Op Som di sekitar Bukit Bintang di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah Skuad Taktikal Khas 3, Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, SAC Mohd Nadzri Hussain berkata mereka termasuk tujuh kanak-kanak dan remaja lelaki dan empat kanak-kanak perempuan berusia antara dua dan 16 tahun.

Beliau berkata mereka dipercayai dikerah oleh penjaga untuk meminta sedekah selain menjual tisu dan surah Yasin kepada orang ramai di sekitar Bukit Bintang dan KLCC dan bergiat aktif sejak beberapa bulan lepas.

STAGG melakukan pemantauan sejak November lepas bagi mengenal pasti aktiviti harian serta lokasi penginapan mereka, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata siasatan mendapati kanak-kanak dan remaja berkenaan ditemani lima penjaga iaitu seorang lelaki dan empat wanita yang menaiki bas dari sebuah flet di Jalan Ampang pada 7 malam menuju ke lokasi berkenaan.

“Apabila sampai ke lokasi yang ditetapkan, kanak-kanak dan remaja itu dibiar berkeliaran meminta sedekah daripada orang ramai termasuk pelancong asing.

“Mereka turut diajar mendesak dan memaksa orang ramai memberikan duit dengan cara menarik baju bagi meraih simpati,” katanya sambil menambah mereka mampu memperoleh pendapatan RM80 hingga RM90 setiap malam lapor Bernama.

Beliau berkata lima penjaga berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan siasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala pembabitan kanak-kanak dan remaja itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");