Jenayah

Pegawai JKM Dituduh Perdaya Penerima Bantuan

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya penerima bantuan JKM sehingga mangsa menyerahkan wang bantuan yang diterima.

Tertuduh, Mohd Ayub Ab Halim, 34, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ejen kepada JKM Terengganu didakwa meminta wang sebanyak RM450 daripada penerima bantuan iaitu Sylvian Irmn Dewoll @ Abdul Rahman.

Tertuduh, yang berjawatan Pembantu Pembangunan Masyarakat (S19), memperdaya mangsa dengan memberi alasan pihak JKM melakukan kesilapan iaitu memberi lebihan wang sedangkan ia tidak berlaku.

Mangsa hanya menyerahkan RM200 bertujuan menyelesaikan masalah kesilapan itu sedangkan wang diterima mangsa adalah benar seperti yang diterima dan tiada kesilapan yang berlaku daripada JKM.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");