Berita Hari Ini

Pelajar Asing Dijangka Meningkat 200,000 Menjelang 2020

BESUT: Jumlah penuntut asing yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini dijangka meningkat sehingga 200,000 orang menjelang tahun 2020.

Menerusi laporan Bernama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata jumlah itu meningkat sebanyak 30,000 berbanding sekarang, iaitu 170,000 orang berikutan kualiti dan prestasi pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara kini semakin meningkat.

“Kepercayaan pelajar luar terhadap sistem pendidikan di IPT kini semakin berubah terutamanya setelah beberapa IPT dalam negara berjaya meningkatkan prestasi masing-masing hingga mampu menyaingi beberapa universiti ternama di peringkat dunia sejak beberapa tahun ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Besut Sihat 5.0.

Pada program itu lebih 150 pelajar antarabangsa daripada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di ibu negara termasuk dari Kolej Universiti Lincoln dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama-sama lebih 3,000 penduduk tempatan mengadakan pelbagai aktiviti yang diadakan di Padang Astaka Jertih di sini.

Antara program yang dijalankan termasuk senamrobik, acara larian, aktiviti berbasikal, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan e-game untuk golongan muda yang membabitkan pertandingan video FiFA 2018.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut menambah dengan perkembangan itu telah menyebabkan beberapa IPTA atau IPTS yang mempunyai pelajar daripada luar mula turun padang hingga ke kampung-kampung bagi membolehkan pelajar mereka dapat mempelajari budaya penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain, Idris memberitahu satu konsep baharu akan diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Kolej Komuniti (KK) bagi membolehkan pelajar yang belajar di kolej berkenaan belajar sambil bekerja tidak lama lagi.

Katanya, konsep yang dinamakan Konsep “Learn and Earn” itu akan membuka peluang kepada pelajar Kolej Komuniti menjadi perantis (pelatih) kepada sebuah syarikat iaitu pada masa yang sama mereka akan belajar dan mendapat gaji dari majikan tempat mereka bekerja.

“Ini adalah satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan gred KK termasuk juga membabitkan Politeknik dan IPT dalam negara secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");