Jenayah

Pemandu Lori Tetak Isteri Mengaku Tidak Bersalah

KLANG: Seorang pemandu lori yang didakwa menetak isterinya dalam satu klip video yang tular pada 8 Mac lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh wanita berkenaan.

Tertuduh, N. Somoo, 38 dan rakannya, V. Chandaramogan, 42, seorang kelindan lori, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Kedua-dua lelaki tersebut didakwa bersama-sama dengan niat cuba membunuh R. Komathi, 43, dengan menetaknya menggunakan senjata parang di hadapan Kilang Flexi Components (KL) Sdn Bhd, di Taman Perindustrian Klang Jaya, di sini kira-kira 8 pagi, 8 Mac lepas.

Mereka didakwa menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Peguam K. Nathiya yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menawarkan jaminan yang munasabah atas alasan kedua-duanya penanggung tunggal keluarga selain berjanji tertuduh tidak akan mengganggu mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Chiew King bagaimanapun memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana Komathi masih terlantar di hospital dan kes tersebut juga telah tular di media sosial lapor Bernama.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 8 Mac itu, Komathi ditetak beberapa kali ketika diheret kedua-dua lelaki tersebut ke sebuah keretai menyebabkan wanita tersebut cedera di kepala, kedua-dua kaki, pergelangan tangan kiri dan belakang badan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");