Jenayah

Pemandu Treler Dipenjara Lima Tahun, Denda

KUALA KUBU BARU: Seorang pemandu treler hari ini dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000 kerana memandu secara melulu menyebabkan kematian enam sekeluarga di Kilometer 403.2, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, pada 2 April tahun lalu.

Hakim Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai majistret juga memerintahkan Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, dihukum penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu selepas mendapati tertuduh bersalah.

Empat waris kepada enam sekeluarga itu turut berada di mahkamah ketika hukuman dijatuhkan, dilihat sebak dan menahan tangisan.

“Saya dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah mengambil kira ini adalah kesalahan kali pertama Muhammd Syahrul dan kes ini membabitkan kepentingan awam,” kata hakim.

Memakai kemeja T berwarna biru dan seluar denim, Muhammad Syahrul Nizam kelihatan tenang dan cuba melindungi wajahnya dengan beg tangan milik isterinya apabila wartawan menghampirinya ketika dia tiba di mahkamah pada semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa menyebabkan kematian enam sekeluarga, Pengerusi MCA Cawangan Balakong Jaya yang juga seorang jurutera, Lam Wai Loon, 46; isterinya, Wong Cheq Lee, 53; dua anak mereka, Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Hong, 13, serta adik Wai Loon, Lam Wei Keat, 35, serta bapanya, Lam Leong Choy, 76.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahrul Nizam yang memandu treler nombor pendaftaran KDY1314 itu didakwa memandu secara laju di Kilometer 403.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, jam 7.46 pagi pada 2 April tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairulazhwa Yusrie Mohamad, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dan pihak lain.

Tertuduh diwakili peguam L Raj merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya.

“Anak guam saya adalah penanggung tunggal keluarga dan dia juga menanggung kedua ibu bapanya,” katanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman untuk tertuduh mengemukakan rayuan dan menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Thomas Chin yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa memberitahu bahawa pihaknya akan terus mengikuti perkembangan kes itu.

Sementara itu isteri Leong Choy, Ng Siew Yin, 73, yang menangis di luar mahkamah berkata hukuman itu tidak mencukupi dengan kehilangan dan penderitaan yang dilalui selepas kejadian itu.

Keluarga berkenaan terbabit dengan kemalangan ketika dalam perjalanan menziarahi perkuburan saudara di Bidor, Perak sempena upacara keagamaan, Cheng Beng (ziarah kubur keluarga) yang diraikan masyarakat Tionghua.

Mereka terbunuh dalam kemalangan itu selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dihempap treler yang terbabas dan terbalik berdekatan susur keluar Tanjung Malim, Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");