Berita Hari Ini

Pembukaan Parlimen Isnin, Isu Persempadanan Antara Tumpuan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama, penggal keenam Parlimen ke-13 akan bermula Isnin ini dengan isu pilihan raya dijangka mendominasi persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama 20 hari sehingga 5 April depan.

Persidangan yang akan dimulakan dengan majlis pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V itu bakal menarik tumpuan umum kerana dikatakan sesi terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang diramal banyak pihak akan diadakan dalam masa terdekat.

Persidangan kali ini juga agak luar biasa kerana sesi mesyuarat bersidang sehingga penggal keenam, berbanding kebiasaannya Parlimen bersidang sehingga penggal kelima sahaja, sebelum dibubarkan untuk pilihan raya umum.

Bagaimanapun, perkara itu tidaklah menyalahi mana-mana peraturan kerana sesi Parlimen ke-13 masih belum berakhir dan hanya akan terbubar secara automatik apabila genap lima tahun mandat kerajaan pimpinan Barisan Nasional tamat tempoh, iaitu pada 24 Jun 2018.

Seperti yang diuar-uarkan, usul “Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi Semenanjung dan Sabah” dijangka antara agenda utama yang akan menghangatkan sesi mesyuarat kali ini.

Walaupun belum sahih usul itu akan dikemukakan pada mesyuarat kali ini, sesi pendengaran awam berhubung bantahan terhadap syor kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya di Selangor yang berakhir semalam menjadi indikasi utama cadangan persempadanan itu akan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

Kali terakhir urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat pada 2003.

Laporan berita sebelum ini menyebut, urusan persempadanan di Semenanjung dan Sabah hampir selesai kecuali di Selangor yang masih dalam peringkat syor kedua.

Pembentangan usul itu ke Parlimen hanya boleh dilaksanakan dengan syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyelesaikan sesi pendengaran bantahan bagi persempadanan semula di Selangor.

Bagaimanapun, pakar perlembagaan Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata walaupun sidang dewan berlangsung sehingga 5 April, berdasarkan peruntukan sedia ada, Parlimen boleh dibubar pada bila-bila masa dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, walaupun ketika sesi mesyuarat masih berlangsung.

????Menurut beliau, mesyuarat penggal keenam itu dilihat akan digunakan kerajaan untuk menyelesaikan urusan-urusannya termasuk usul persempadanan semula dan boleh membubarkan Parlimen sejurus urusan berkenaan diselesaikan.

“Mesyuarat Dewan Rakyat yang berlangsung untuk penggal keenam adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah Parlimen kerana kebiasaan Parlimen dibubarkan untuk PRU selepas mesyuarat pada penggal kelima.

“Namun, ini bukan sesuatu yang aneh kerana kerajaan mungkin mahu menyelesaikan urusan-urusannya atau sebagai persediaan kepada semua anggota Parlimen sebelum PRU diadakan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata persidangan dewan kali ini akan bermula dengan istiadat pembukaan yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang turut berkenan menyampaikan titah ucapan.

Persidangan dewan seterusnya akan membahaskan usul Titah Diraja selama dua minggu sebelum setiap kementerian yang berkaitan akan menggulung perbahasan usul itu pada minggu ketiga.

???”Minggu keempat dan kelima adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya yang menjangkakan selain usul persempadanan semula, Dewan Rakyat akan membincangkan mengenai rang undang-undang mengenai berita palsu.

????Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Ke-13 diadakan pada 24 Jun 2013 iaitu sejurus selepas PRU13 dengan Barisan Nasional memulakan sesi dengan 133 anggota Parlimen berbanding pembangkang, DAP, PKR dan PAS yang ketika itu membentuk Pakatan Rakyat memiliki 89 wakil Parlimen.

Selepas lima hampir tahun berlalu dengan pelbagai perubahan dalam landskap politik tanah air, kedudukan terkini menyaksikan kerusi Parlimen BN berkurangan kepada 132, manakala pembangkang yang berpecah kepada Pakatan Harapan dan blok ketiga PAS mempunyai 87 kerusi dengan tiga lagi kerusi disandang wakil Bebas.

Jika tiada pengumuman dibuat, Parlimen akan terbubar dengan sendirinya pada 24 Jun depan dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");