Perak Hari Ini

Pemimpin BN Jangan Dengar Nasihat Dari ‘Punahsihat’: Ahmad Zahid

PARIT BUNTAR: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN), dinasihatkan agar tidak terlalu terpengaruh dengan cakap-cakap segelintir pihak dikalangan pengikut kerana ia boleh membawa kepada perpecahan sesama pemimpin.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka seharusnya mempunyai pendirian diri sendiri yang tetap agar dapat terus menarik dan mengekalkan keyakinan rakyat kepada BN untuk Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Setiap pemimpin ada pengikut. Kita boleh mendengar pandangan mereka. Dan mereka juga boleh beri nasihat, namun bukan mendengar nasihat daripada ‘punahsihat’.

“Kalau pemimpin ikut cakap pengikut, pengikut pecah, kita juga sama berpecah.

“Ada kala pemimpin kena lembut. Adakala kena toleransi. Namun ada sesekali pemimpin kena keras dan bersikap tegas. Kalau pemimpin lembut sahaja, baik jadi lelaki lembut,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan bahawa kekalahan BN selama 11 bulan di Perak sebelum ini bukanlah kerana kekuatan pembangkang, sebaliknya disebabkan terdapat segelintir pihak yang sengaja melaga-lagakan sesama pemimpin BN, yang mana ianya harus dijadikan pengajaran.

Tambahnya, kekuatan BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan memberi impak yang besar terhadap kekuatan parti itu di peringkat Parlimen.

“Cukuplah! Orang UMNO, BN, bersatulah! Demi UMNO, BN kita perkukuhkan dan tingkatkan sokongan rakyat kepada BN,” tegasnya ketika berucap dalam Program Mesra Rakyat di Dataran Kerian Permai, di sini, pada Ahad.

Ketika dalam ucapanya, beliau kemudian meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, serta Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali kehadapan pentas untuk bersalaman dan perpelukkan sebagai tanda perdamaian antara kedua-dua pihak.

Ia turut disaksikan Pengerusi BN Negeri merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Pengerusi BN Negeri, Datuk Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Ahmad Zahid turut mengulangi nasihatnya kepada kedua-dua pemimpin tersebut agar mereka terus memperkukuhkan hubungan dan kekuatan parti.

Dalam perkembangan sama, beliau juga berharap agar rakyat dapat terus memberi sokongan kepada BN untuk terus menerajui negeri dan persekutuan dalam PRU14 demi pembangunan serta kemajuan kawasan setempat.

Beliau turut menyatakan janji untuk terus membantu negeri kelahirannya ini, selain pada masa sama tidak melupakan kebajikan negeri-negeri yang lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");