Perak Hari Ini

Penduduk Perumahan Bercham Sinar Minta Pagar Keselamatan Tidak Dirobohkan

IPOH:Penduduk perumahan Bercham Sinar (East Eden) meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mempertimbangkan semula keputusan merobohkan pagar dan sistem keselamatan yang didirikan oleh mereka sejak setahun yang lalu.

Menurut salah seorang penduduk perumahan tersebut, Aghelan Ganesan pembinaan pagar automatik dan empat pagar di setiap laluan lorong taman adalah untuk keselamatan penghuni kerana kejadian kes ceroboh masuk rumah serta rompakan yang kerap berlaku di lokasi tersebut.

“Tindakan kami mendirikan pagar tersebut hanya kerana takut dan mahukan keselamatan keluarga lebih terjamin kerana sebelum ia didirikan terdapat banyak kejadian rompakan dan setelah setahun didirikan tiada lagi kes ragut, ceroboh rumah dilaporkan.

“Kejadian ceroboh dan rompakan sering berlaku pada pagi hari apabila kami semua keluar bekerja dan hanya tinggal ibu atau warga emas serta anak-anak kecil jadi kami risau keselamatan mereka,” katanya yang ditemui pada sesi perjumpaan dengan wakil MBI hari ini.

Katanya, lorong-lorong taman dipercayai dijadikan lokasi perompak menyorok dan kejadian sering berlaku pada pagi hari.

Berikutan kejadian tersebut kes ragut dan rompakan yang kian meningkat penduduk telah bersepakat menyumbang sekitar RM500 bagi pembinaan pagar automatik, pondok pengawal dan pagar besi berkunci di setiap lorong.

“Setiap pemilik rumah di sini akan diberikan kad laluan untuk memasuki pagar pertama dan tetamu yang datang boleh melapor diri di pondok pengawal malah pengawal akan membawa mereka ke rumah tersebut jadi ia memberi satu langkah keselamatan kepada kami,” katanya.

Terdahulu, seramai 89 orang pemilik rumah telah hantar permohonan yang pertama pada 25 Ogos 2017 kepada Pengarah Perancang Bandar bagi mendirikan pagar dan sistem keselamatan di taman perumahan Bercham Sinar (East Eden) untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun tindakan pembinaan pagar berkunci itu telah menerima rugutan daripada pihak tertentu kerana didakwa telah menghalang lalu lintas orang awam di bawah seliaan pihak MBI.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh Aldrich Low Guo Nan berkata wakil penduduk Bercham Sinar (East Eden) terima Notis daripada pihak majlis pada 11 Oktober mengikut peruntukan Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang mana mereka dikehendaki dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan notis perlu merobohkan lima buah struktur pagar berkenaan.

Berikutan itu, penduduk Bercham Sinar (East Eden) telah menghantar surat rayuan atas permohonan tersebut kepada Datuk Bandar Datuk Zamri Man Datuk Bandar pada 6 November 2017 tetapi rayuan ditolak pada 15 November dan mereka diarahkan agar mematuhi isi kandungan notis tersebut.

Antara isi kandungan notis yang ditetapkan ialah pagar yang didirikan tersebut akan menjadi halangan di tempat awam dan akan menafikan hak orang awam lain yang ingin menggunakan jalan tersebut dan premis-premis di dalam taman tersebut bukan hakmilik yang dikeluarkan hak milik strata.

Malah penutupan jalan secara tidak sah adalah bertentangan dengan Akta 131 serta prinsip kebebasan bergerak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan malah pagar dan pondok pengawal tersebut telah didirikan di atas tanah rizab MBI, dan ianya merupakan satu bentuk pencerohonan serta halangan di tempat awam.

“Pagar-pagar yang didirikan oleh penduduk adalah bertujuan untuk mengatasi masalah keselamatan dan sebarang kejadian kecemasan dapat diatasi bagi individu yang ingin menggunakan lorong tersebut kerana kunci dipegang oleh penduduk berhampiran lokasi pagar dan pegawal tiada masalah melaluinya.

“Pada sesi perjumpaan dengan penduduk pada hari ini saya telah menerima 89 surat rayuan bagi meminta pagar keselamatan ini tidak dirobohkan, jadi saya akan minta pihak MBI supaya mempertimbangkan semula permohonan Kebenaran Merancang dan kelulusan stuktur sementara pagar dan pondok pengawal perumahan ini dan operasi merobohkan pagar tersebut yang dijadual pada Rabu ini ditangguhkan sementara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");